'Anak ambil motosikal tanpa pengetahuan'

Jazmanie (tiga, kanan) memeriksa salah seorang penunggang motosikal dalam operasi di Plaza Tol Awan Besar pada Selasa.
Jazmanie (tiga, kanan) memeriksa salah seorang penunggang motosikal dalam operasi di Plaza Tol Awan Besar pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ambil motosikal tanpa pengetahuan antara alasan popular diberikan ibu bapa selepas anak mereka ditahan kerana tidak memiliki lesen dalam Operasi Khas Motosikal yang dijalankan sejak 1 November lalu.

Kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang turut melibatkan pelbagai peringkat umur itu direkodkan antara paling tinggi sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 563,135 motosikal.

"Sebanyak 134,718 notis dikeluarkan terhadap penunggang manakala sitaan melibatkan 3,668 motosikal terdiri daripada pelbagai kesalahan.

"Operasi sama juga turut menyaring seramai 561 penunggang motosikal dan mendapati 66 daripadanya positif dadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika penutup Operasi Khas Motosikal di Plaza Tol Awan Besar di sini pada Selasa.

Tambah Jazmanie, operasi dijalankan mendapati seramai 319 penunggang motosikal terdiri daripada mereka yang di bawah umur.

"Kebanyakan ibu bapa memberi alasan motosikal milik mereka diambil oleh anak-anak tanpa kebenaran dan pengetahuan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan di bawah Seksyen 26 (1) dan Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh diambil terhadap mana-mana individu yang membenarkan kenderaan milik mereka dipandu atau ditunggang oleh individu lain yang tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Menurutnya, ibu bapa sewajarnya memastikan anak menggunakan kenderaan dengan kaedah dibenarkan termasuk mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah serta perlindungan insurans.

"Ibu bapa juga perlu mengambil berat dengan memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan cukai jalan.

"Semua pengguna terutamanya penunggang motosikal diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!