Penahanan Fahmi Reza cetus perdebatan ramai
PENAHANAN aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948 susulan tindakannya menampal karikatur melibatkan imej Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman di beberapa kawasan di Sabah mencetuskan perdebatan ramai.
Fahmi Reza ditahan susulan terdapat 30 laporan polis yang dibuat berkaitan perkara tersebut kerana didakwa berbaur menghina pelantikan Tun Musa.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa tindakan itu tidak sepatutnya diambil memandangkan satira adalah sebuah karya seni yang menggunakan humor, ironi atau sindiran untuk mengkritik sesuatu.
Biasanya ia terkait dengan masalah sosial, politik atau budaya.
Dakwaan itu dibuat kerana tiada penjelasan secara terperinci mengenai kesalahan Satira mengikut undang-undang.
Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpendirian bahawa satira tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah walaupun terdapat individu yang tidak bersetuju dengan mesej dibawa oleh Fahmi Reza.
Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa dilindungi selagi ia tidak menyebabkan sebarang ketidaktenteraman awam.
Sehubungan itu, beliau berkata, AMK mendesak supaya Fahmi dibebaskan dengan kadar segera susulan penahanannya bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju sekiranya Fahmi Reza ditangkap atau didakwa.
Menurutnya, beliau tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat jika ia tidak keterlaluan hingga menyentuh aspek raja, agama dan kaum (3R).
"Fahmi Reza, saya tidak setuju didakwa dan ditangkap kerana secara jujurnya saya merasakan bagi gesaan dan nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, dalam kes kritikan kepada Perdana Menteri, biar sahajalah.
"Tapi kalau kes membabitkan Raja-raja, ia di luar bidang kuasa saya. Mana yang Majlis Raja-Raja kata tak setuju, raja-raja disepak terajang macam itu, kerana tidak jawab dan mereka bukan dalam permainan politik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!