Berazamlah jadi orang baik, perbanyakkan amalan soleh

Terus perbaiki akhlak dan rohani jiwa sementara masa masih ada. Rahsia tarikh kematian tertutup rapat, bila-bila masa sahaja dijemput Izrail. Gambar hiasan 123rf
Terus perbaiki akhlak dan rohani jiwa sementara masa masih ada. Rahsia tarikh kematian tertutup rapat, bila-bila masa sahaja dijemput Izrail. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

MERAK Jalanan nak ambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 buat semua pembaca Sinar Harian. Seperti biasa, tahun baharu, azam pun baharu.

Walaupun antara azam baharu itu kedengaran klise dan diulang hampir setiap tahun tapi sebagai permulaan semestinya dengan daya kesungguhan yang mencanak tingginya.

Namun, ada juga antara kita menyambut tahun baharu ini dengan kesugulan kerana kematian insan tersayang. Ada yang hilang tonggak utama dalam keluarga hingga merubah 360 darjah kehidupan. Hilangnya doa dan kasih sayang yang sangat diperlukan dan menjadi kekuatan untuk meneruskan segala hiruk piruk kehidupan.

Di penghujung tahun 2024 ini, Merak Jalanan turut melalui rasa hiba kerana berdepan kehilangan orang sekeliling dan dekat. Hilang rakan sepejabat, sekelip mata juga kehilangan ahli keluarga. Paksa reda, mati itu pasti.

Kita yang masih diberi kesempatan hidup usahlah dibuai keseronokan dunia semata-mata. Terus perbaiki akhlak dan rohani jiwa sementara masa masih ada. Rahsia tarikh kematian tertutup rapat, bila-bila masa sahaja dijemput Izrail.

Apa pun, pengalaman yang kita lalui sepanjang 2024 jadikan pedoman dan pengajaran. Benda baik kita teruskan dan istiqamah. Perkara buruk jadikan sempadan dan buang jauh supaya peroleh keberkatan Ilahi dunia dan akhirat.

Untuk 2025, diharapkan mereka yang meratapi kehilangan ini dapat meneruskan hidup seperti biasa walaupun perit. Berdoalah agar masa akan menghilangkan segala rasa hiba itu segera. Pasrah dengan ketentuan-Nya dan ingat kita juga bakal ke sana. Tiada yang terkecuali.

Bukan setakat azam untuk kurus yang selalu menjadi sasaran setiap kali tahun baharu muncul, tetapi juga berazam untuk menjadi orang baik dan perbanyakan amalan soleh supaya urusan mudah apabila dijemput ke negeri abadi kelak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!