Tiada lagi 'lubuk rezeki' di Sungai Golok
SUNGAI Golok yang memisahkan antara Malaysia-Thailand sepanjang sekitar 120 kilometer bermula dari Jeli ke Tumpat merupakan ‘lubuk rezeki’ kepada penduduk yang tinggal di sempadan.
Uniknya, sungai selebar 20 hingga 50 meter itu boleh diseberangi dengan menaiki bot atau sampan dan mengambil masa kurang dua minit.
Jika musim kemarau, aktiviti rentas sempadan lebih mudah, hanya berjalan kaki sahaja menyeberangi Sungai Golok.
Di sepanjang sungai ini, terdapat lebih 100 pangkalan haram atau jeti yang dibina oleh penduduk untuk memudahkan urusan berulang alik dari Malaysia-Thailand tanpa perlu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Hal ini kerana kebanyakan pangkalan haram yang dibina di belakang rumah penduduk adalah milik persendirian dan bukannya tanah rizab kerajaan.
Disebabkan itu segala urusan melibatkan aktiviti di Sungai Golok sukar dibendung oleh pihak berkuasa. Namun mulai 1 Disember 2024, pihak polis telah mengeluarkan arahan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram akan ditangkap.
Arahan itu sekali gus memberi tamparan kepada penduduk yang sudah berpuluh tahun menjadikan Sungai Golok sebagai lubuk rezeki mereka.
Perasaan marah, sedih sudah tentu ada, namun mereka perlu akur dengan peraturan tersebut.
Bagaimanapun, masih ada segelintir penduduk yang berani melakukan aktiviti penyeludupan barangan kontraban, petrol dan diesel sebagai mata pencarian utama menyara keluarga.
Tidak dinafikan pendapatan sebagai penyeludup lumayan malah skop pekerjaan cukup mudah hanya membawa barangan tersebut ke lokasi yang telah ditetapkan oleh tauke.Walaupun pekerjaan itu berisiko, mereka tetap memilih sebagai mata pencarian utama yang sudah dianggap sebagai tradisi dan darah daging oleh penduduk di sekitar sempadan.
Lihat sahaja, saban hari ada kejayaan rampasan dan tangkapan yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am.
Penguat kuasa lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Marin dan sebagainya turut mengawal ketat sempadan Malaysia-Thailand daripada aktiviti penyeludupan.
Selain penyeludupan, pekerjaan jurumudi bot turut menjadi salah satu mata pencarian penduduk di Sungai Golok.
Namun sejak larangan rentas sempadan kawasan pangkalan haram yang sebelum ini sibuk bertukar menjadi ‘mati’.
Sejak 1 Disember hingga kini, seramai 13 individu telah ditahan selepas melakukan aktiviti rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok.
Daripada jumlah itu, lima warganegara tempatan dan lapan warganegara asing iaitu tiga dari India dan lima warga Thailand.
Setakat ini, Mahkamah Majistret Pasir Mas menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 kepada tiga lelaki selepas mengaku bersalah memasuki negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang.
Namun di sebalik larangan itu, masih ada yang berani melakukan aktiviti rentas sempadan secara curi-curi disebabkan faktor kekeluargaan sejak sekian lama.
Hal ini kerana ada rakyat Malaysia berkahwin dengan warga Thailand, begitu juga sebaliknya.
* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Biro Sinar Harian Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!