Kereta bawa dadah rempuh dua anggota polis, dikejar dari JB sampai Kluang
JOHOR BAHRU - Tindakan wanita dipercayai warga Singapura yang enggan memberhentikan keretanya semasa Op Tapis di bandar raya ini menyebabkan kenderaan itu dikejar polis sehingga ke Lebuhraya Link Kedua (Second Link) dan Kulai sebelum ditahan di Kluang.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian pada kira-kira jam 12 tengah malam Isnin itu bermula apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita berusia 38 tahun bersama seorang lelaki tempatan dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia di sini.
"Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) yang membuat pemantauan penugasan Op Tapis kemudiannya bertindak mengekori rapat kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Persiaran Alif Harmoni.
"Semasa pasukan serbuan cuba menghampiri kenderaan suspek untuk melakukan pemeriksaan, kenderaan terbabit telah merempuh dua anggota polis sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tangan," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun ujarnya, suspek tidak mengendahkan arahan berhenti yang diberikan sebaliknya terus memecut laju menghala ke arah Lebuhraya Pasir Gudang.
"Anggota polis bertindak mengejar kenderaan suspek yang melalui Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Kedua (Second Link).
"Dalam insiden mengejar itu, suspek bertindak nekad merempuh palang tol di kawasan Plaza Tol Senai Utara sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan (menghala ke utara).
"Unit MPV dari IPD Kulai dan Kluang turut digerakkan untuk menahan kenderaan suspek yang akhirnya berjaya ditahan di Simpang Renggam, Kluang," ujarnya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dilakukan menemui beberapa bungkusan plastik dipercayai berisi dadah di dalam kenderaan itu.
"Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin.
"Suspek lelaki berusia 49 tahun didapati mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah dan merupakan individu dikehendaki," katanya lagi.
Kumar menambah, penahanan kedua-dua suspek membawa kepada dua lagi serbuan berasingan di bandar raya Johor Bahru dan pelbagai jenis bahan disyaki dadah dirampas.
"Dalam operasi terbabit, polis merampas ganja seberat 697.40 gram (g), syabu (62g), serbuk ekstasi (4.10g), heroin (3.8g) dan pil nitrazepam (14g).
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan bernilai RM54,831,"katanya.
Jelas beliau, kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari bermula Selasa dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 44 (1) dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!