Pemandu kenderaan asing ada saman tertunggak diarah bayar serta-merta - JPJ
KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggerakkan operasi khas Op Tunggak bagi menahan kenderaan asing khususnya Thailand di empat negeri sempadan negara bermula tahun baharu 2025 pada Rabu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pelaksanaan operasi ditumpukan di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan itu bertujuan mengesan pemandu-pemandu asing yang melanggar undang-undang termasuk mempunyai saman tertunggak.
“Menerusi Op Tunggak, JPJ akan mengambil tindakan drastik kepada pemandu kenderaan-kenderaan asing terutama dari Thailand.
“Kami akan tahan kenderaan-kenderaan untuk pemeriksaan dan jika didapati ada saman-saman tertunggak, pemandu akan diarah untuk melunaskan bayaran itu serta-merta sebelum boleh meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Khas Motosikal Bersepadu sempena malam tahun baharu 2025 di Jalan Hamzah, di sini, pada Selasa.
Beliau mengulas, kenderaan-kenderaan asing terutama dari Thailand didapati secara berleluasa melakukan kesalahan berulang.
“Kami mahu pastikan bukan sahaja warga negara kita sendiri, bahkan pemandu-pemandu warga asing juga wajib mematuhi undang-undang dan membayar saman yang sudah dikeluarkan.
“Op Tunggak bermula pada hari ini dan akan berlarutan sepanjang tahun baharu 2025,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain menerusi Op Khas Puspakom di seluruh negara mencatatkan pemeriksaan 4,945 kenderaan di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Daripada jumlah itu, 1,093 kenderaan diambil tindakan dan 21 kenderaan disita membabitkan 829 kesalahan teknikal manakala selain teknikal 811.
“Operasi dilaksanakan bagi memastikan setiap kenderaan yang diperiksa di Puspakom seluruh negara mematuhi standard ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!