Perak lepasi sasaran, rekod 8.4 juta pelancong
IPOH - Perak melepasi sasaran awal 8 juta pelancong domestik dengan mencatatkan 8.4 juta kunjungan sepanjang Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak 135 peratus berbanding kempen sama pada 2017 lalu.
"Data yang diperoleh daripada soal selidik Tourism Malaysia ini juga menunjukkan sehingga September lepas, seramai 627,292 pelancong antarabangsa telah melawat negeri Perak.
"Pencapaian ini memperlihat segala usaha dilaksanakan dalam mempromosi Perak sebagai lokasi pilihan pelancong berada di landasan yang betul," katanya ketika berucap merasmikan Finale Tahun Melawat Perak 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Saarani berkata, selain Ipoh dan Pulau Pangkor menjadi destinasi tumpuan utama, perkara menarik perhatian adalah kejayaan luar biasa dicapai daerah Larut, Matang dan Selama.
Katanya, Larut, Matang dan Selama mencatatkan lebih 1 juta pelawat, menjadikannya daerah ketiga tertinggi menerima pelancong di negeri ini.
"Produk-produk seperti Muzium Telegraf, Antong Coffee dan Trong Leisure Farm menjadi daya tarikan utama dan menyaksikan peningkatan pengunjung sebanyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini membuktikan sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada kawasan bandar, tetapi limpahan ekonomi kepada kawasan luar dan pinggir bandar yang kaya dengan keunikan dan warisan tersendiri," katanya.
Beliau berkata, sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri turut merangka projek infrastruktur pelancongan jangka panjang di beberapa daerah strategik.
Ujarnya, perkara itu turut membabitkan pembangunan pusat pelancongan bersepadu di kawasan luar bandar yang berpotensi besar, menaik taraf laluan akses ke destinasi popular serta memperkenalkan lebih banyak aktiviti ekopelancongan dan pelancongan budaya.
"Dalam Belanjawan Perak 2025, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM11.31 juta untuk pelbagai projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan di seluruh negeri.
"Daripada jumlah tersebut, RM4 juta diperuntukkan untuk pembangunan kemudahan pelancongan, menaik taraf ikon pelancongan serta pembangunan infrastruktur luar bandar khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!