Hasrat dua remaja bawa ibu makan sate tak kesampaian
KUALA LUMPUR - Hasrat dua remaja membawa ibu mereka menikmati sate sempena malam tahun baharu tidak kesampaian apabila ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setelah didapati tidak memiliki lesen motosikal dalam operasi khas di Plaza Tol Awan Besar pada Selasa.
Wanita berumur lingkungan 50-an itu didapati membonceng salah sebuah motosikal ditunggang salah seorang anaknya sebelum ditahan dalam operasi terbabit.
Wanita yang juga ibu tunggal itu menyatakan bahawa dia teringin menikmati hidangan itu walaupun tahu kedua anaknya itu tidak memiliki lesen memandu.
Wanita itu turut menyatakan bahawa kedua-dua anaknya masing-masing berumur 16 dan 17 tahun tidak mengambil lesen disebabkan masalah kewangan.
Pegawai JPJ bertugas difahamkan turut mengambil butiran dua remaja terbabit untuk dimasukkan dalam program MyLesen bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Sementara itu dalam operasi sama, seorang lelaki warga asing ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki sebarang lesen yang sah.
Lelaki berumur lingkungan 30-an yang turut membonceng seorang rakan senegaranya itu memberikan alasan tidak tahu berkaitan kesalahan dilakukannya itu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi khas bermula kira-kira jam 8 malam itu melibatkan pemeriksaan 7,124 kenderaan.
Beliau berkata, operasi yang turut disertai pihak polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar itu merekodkan sebanyak 576 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
"Pemeriksaan melibatkan pelbagai jenis kenderaan itu mendapati sebanyak 827 kesalahan direkodkan antaranya kesalahan teknikal sebanyak 305 kes diikuti tiada lesen memandu kompeten (173), cukai jalan tamat tempoh (103) serta tiada perlindungan insurans (92).
"Selain itu, kesalahan lain direkodkan adalah tiada Lesen Kenderaan Barangan (52), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (29), sembilan kesalahan utama (21), lain-lain kesalahan (47) dan membawa melebihi muatan (lima)," katanya.
Katanya, seramai tiga individu turut ditahan kerana didapati positif dadah.
"Kesemua individu terbabit dikesan positif dadah menerusi ujian air kencing yang dijalankan anggota AADK.
"Pemeriksaan juga turut dijalankan terhadap 32 individu warga asing oleh Jabatan Imigresen serta ujian bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar melibatkan 19 kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!