'Marilah terus berusaha, berdoa agar 2025 bawa lebih banyak kejayaan'
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa semua pihak supaya terus bersatu hati, memelihara nilai-nilai murni dan bersama-sama menjadikan negara ini aman, makmur serta sejahtera.
Menurutnya, ketibaan tahun baharu 2025 adalah peluang untuk rakyat terus meningkatkan prestasi, mengekalkan keharmonian dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Kehidupan yang harmoni dan saling menghormati adalah asas kepada pembangunan yang mampan dan kemakmuran bersama," katanya dalam kenyataan sempena tahun baharu yang dikongsi melalui Facebooknya.
Wan Rosdy berkata, melangkah ke tahun baharu 2025 dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat dan keberkatan yang telah dikecapi sepanjang tahun 2024.
"Sempena tahun baharu ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Pahang Darul Makmur.
"Marilah kita terus berusaha dan berdoa agar tahun 2025 membawa lebih banyak kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada kita semua. Insya-ALLAH," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!