Andalusia tawar hadiah berjumlah RM500,000 melalui JIMBA
KUALA LUMPUR - Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) melancarkan portal baharu Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) bagi menyatukan umat Islam di Malaysia dalam satu platform.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran jenama bagi menarik perhatian orang ramai dengan kempen menarik seperti peraduan mingguan yang menawarkan hadiah istimewa.
Menurutnya, antara hadiah yang ditawarkan ialah sebuah kereta elektrik, motosikal, pakej umrah, percutian ke luar negara, barangan elektrik dan baucar diskaun pakej umrah bernilai RM50.
“Nilai bagi kesemua ini (52 cabutan termasuk hadiah utama) berjumlah RM500,000. Setiap minggu akan ada cabutan bertuah di setiap cawangan Andalusia.
“Syarat untuk menyertai peraduan ini adalah dengan mengisi borang penyertaan dan jawab dua soalan mudah,” katanya ketika majlis pelancaran platform JIMBA pada Selasa.
Tambah Ida Riswana, cabutan bertuah pertama akan berlangsung pada 3 Januari ini pada jam 8 hingga 10 malam di platform Facebook dan TikTok melalui pengesahan Kod Respons Pantas (QR).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Cabutan Bonanza iaitu sebuah kereta BYD Sealion 7 akan dilakukan pada 31 Disember 2025.
“Ingin saya jelaskan di sini, orang ramai yang beragama Islam boleh menang kesemua hadiah, kecuali Cabutan Bonanza.
“Ini kerana, cabutan ini hanya diberikan kepada mereka yang membuat pembelian minimum RM5,000 dalam satu transaksi sepanjang tempoh program (1 Januari hingga 31 Disember 2025),” ujarnya.
Pada masa sama, Ida Riswana berkata, pihaknya menyasarkan peraduan berkenaan akan berlangsung selama 10 tahun.
Menurutnya, tahun 2025 ini, Andalusia turut meletakkan sasaran satu juta umat Islam di Malaysia menyertai JIMBA.
Jelas beliau, pada tahun ke-10, pihaknya berharap seramai 10 juta peserta akan menyertai peraduan.
Katanya, hal tersebut tidak mustahil untuk diraih kerana Andalusia akan menawarkan hadiah lebih menarik tahun demi tahun.
“Insya-ALLAH, kami akan sasarkan hadiah yang lebih lumayan berbanding hadiah tahun pertama bagi menarik ramai umat Islam di Malaysia untuk berada dalam platform ini.
“Ini bukan satu peraduan biasa-biasa tetapi satu perjalanan luar biasa yang kami gabungkan keseronokan dan keterlibatan orang ramai bersama Andalusia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, tujuan pihak syarikat mewujudkan portal berkenaan adalah untuk berkongsi rezeki dan menyantuni lebih ramai umat Islam di Malaysia.
Beliau memberitahu pendekatan sedemikian adalah tarikan baharu Andalusia yang tidak ada pada mana-mana agensi lain.
Dalam pada itu, Md Daud berkata, salah satu objektif mewujudkan JIMBA adalah untuk menghapuskan 'scammer' dalam urusan pakej umrah.
“Kita mahu orang ramai tidak membuat apa-apa pembelian terhadap syarikat yang tidak dikenali (scammer).
“Jangan dibezakan harga antara satu sama lain kerana gara-gara mengejar harga murah akhirnya tertipu. Kita (Andalusia) harga yang sederhana... Alhamdulillah semua jemaah dapat pergi dan balik dengan selamat serta seronok,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!