Teknologi AI, CCTV percepat proses keluar masuk sempadan

Orang ramai beratur untuk pemeriksaan dokumen sebelum memasuki Thailand
Orang ramai beratur untuk pemeriksaan dokumen sebelum memasuki Thailand
A
A
A

KOTA BHARU - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kamera litar tertutup (CCTV) di semua pintu masuk utama negara mempercepatkan proses pergerakan keluar masuk rakyat di kedua-dua negara Malaysia-Thailand.

Justeru, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) boleh memberi penerangan mengenai teknologi pendigitalan itu kepada semua pegawai dan anggota agensi berkenaan.

Menurut beliau, mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI akan meningkatkan keupayaan pegawai membangunkan analisis risiko di pintu masuk sempadan.

"Saya menyeru juga supaya selesaikan masalah kamera litar di semua sempadan.

"Kita juga perlu 'mengubah' kakitangan fizikal kepada penggunaan AI seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penjawat awam dapat memudah cara dan memuaskan hati pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Rintis AKPS di Kompleks ICQS Rantau Panjang pada Rabu.

Shamsul Azri (kanan) memakaikan logo AKPS kepada kakitangan agensi itu Program Rintis AKPS di Kompleks ICQS Rantau Panjang pada Rabu.
Shamsul Azri (kanan) memakaikan logo AKPS kepada kakitangan agensi itu Program Rintis AKPS di Kompleks ICQS Rantau Panjang pada Rabu.

Jelas beliau lagi, penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui mekanisme yang tepat secara optimum akan membantu pegawai memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas terhadap ancaman dan cabaran di pintu masuk dan sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memberitahu, AKPS kini sebuah agensi tunggal di pintu masuk sempadan negara yang disertai Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Tambah Shamsul Azri, peningkatan kawalan sempadan juga dapat mengurangkan jenayah serta aktiviti penyeludupan.

Jelas beliau lagi, statistik Polis Diraja Malaysia merekodkan sempadan Malaysia-Thailand mempunyai 169 lintasan haram yang dikenal pasti tahun lalu.

"Pelaksanakan strategi pengurusan sempadan membantu kerajaan mengurangkan dan menutup terus lintasan atau laluan masuk tidak sah ini," katanya.

ICQS Rantau Panjang merupakan pintu masuk negara yang pertama menggunakan perkhidmatan AKPS dan memulakan operasi pada 1 Januari 2025.


ICQS Rantau Panjang uji stamina AKPS

RANTAU PANJANG - Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang yang menjadi antara pintu keluar masuk penting rakyat Malaysia-Thailand diibaratkan sebagai 'litar lumba' penjenayah yang terbabit kegiatan menyeludup.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, operasi di lokasi itu menguji stamina pegawai dan anggota agensi itu yang memulakan operasi pada hari ini (1 Januari 2025).

Menurut beliau, kompleks ICQS itu dipilih sebagai lokasi rintis sebelum diteruskan ke 21 lokasi lain di seluruh negara pada 1 Februari tahun ini.

"Jika saya boleh bergurau sedikit...operasi di sini juga menguji stamina pasukan kita. Mana tidaknya, pintu masuk sempadan ini bukan sahaja sibuk dengan urusan rasmi tetapi menjadi 'litar lumba' untuk mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan," katanya.

"Justeru, pegawai kena bersedia, jangan biarkan mereka ini lebih laju daripada kita dalam operasi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rintis AKPS di Kompleks ICQS Rantau Panjang yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Rabu.

Menurut beliau, kawalan keselamatan yang lebih ketat, proses yang lebih efisien untuk pengembara dan perdagangan serta integriti tidak boleh diragukan menjadi asas kejayaan AKPS.

Hazani juga percaya dengan keberkesanan pelaksanaan berkenaan, AKPS akan terus menyumbang kepada pencapaian hasil negara yang lebih baik.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan pengoperasian rintis AKPS di ICQS Rantau Panjang merupakan langkah pertama bagi AKPS beroperasi serta mengenal pasti kebaikan dan kelemahan agensi berkenaan.

Katanya, operasi rintis itu merupakan salah satu inisiatif persediaan pengoperasian utama AKPS kelak di samping menangani isu-isu kritikal secara tegas dan menyeluruh.

Berdasarkan [Akta 860], Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang diwartakan pada 17 Oktober 2024, agensi itu akan bertindak sebagai barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan.

AKPS bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!