104 kesalahan tayar lori botak dikesan di Perak

Mohammad Yusoff menunjukkan iklan perkhidmatan menukar tayar bagi tujuan pemeriksaan di Puspakom yang berleluasa di media sosial.
Mohammad Yusoff menunjukkan iklan perkhidmatan menukar tayar bagi tujuan pemeriksaan di Puspakom yang berleluasa di media sosial.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 104 kesalahan tayar botak dikesan dalam tempoh enam hari pelaksanaan Operasi Khas Gempur Teknikal ke atas kenderaan perdagangan bermula 26 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu melibatkan 208 kenderaan yang diambil tindakan melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh negeri.

"Kesalahan tayar botak ini merupakan tertinggi direkodkan.

"Kita dapati banyak telah mengalami kerosakan dengan keadaan sesetengah wayar keluli telah putus kerana digunakan melebihi tempoh ditetapkan.

"Tidak mustahil jika terus digunakan boleh memberi kesan meletup atau pecah pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita sempena Op Ambang Tahun Baharu 2025 di hadapan Institut Memandu Sri Perak Meru Raya di sini pada Selasa.

Mohammad Yusoff turut bersama melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal sempena Op Ambang Tahun Baharu 2025 di hadapan Institut Memandu Sri Perak Meru Raya pada Selasa.
Mohammad Yusoff turut bersama melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal sempena Op Ambang Tahun Baharu 2025 di hadapan Institut Memandu Sri Perak Meru Raya pada Selasa.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya mengesan dua salah laku pemilik kenderaan perdagangan dalam urusan pemeriksaan berkala di Puspakom.

Katanya, kesalahan pertama melibatkan pengabaian Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di bawah Seksyen 7(2)(c) iaitu peraturan membawa kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di mana pemilik tidak mendapatkan Permit Bergerak Sementara daripada JPJ untuk membawa kenderaan ke Puspakom.

Artikel Berkaitan:

Operasi ambang tahun baharu di hadapan Institut Memandu Sri Perak Meru Raya merekodkan 750 kenderaan termasuk 570 motosikal telah diperiksa.
Operasi ambang tahun baharu di hadapan Institut Memandu Sri Perak Meru Raya merekodkan 750 kenderaan termasuk 570 motosikal telah diperiksa.

Ujar beliau, JPJ Perak Kita turut mengesan kesalahan pemalsuan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor (trade plate) di mana pemilik mempamerkan dokumen palsu bagi tujuan membawa kenderaan ke Puspakom.

"Sebanyak 544 notis kesalahan telah dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah berkaitan dengan teknikal kenderaan seperti ekzos, lampu dan ubahsuai kenderaan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, dalam operasi ambang tahun baharu itu, sebanyak 750 kenderaan termasuk 570 motosikal telah diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 184 kenderaan telah diambil tindakan melalui 271 notis yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Operasi kali ini, JPJ turut menyita 21 motosikal dan tiga kereta bagi siastaan lanjut," katanya.

Mohammad Yusoff akui, ketika ini wujud perkhidmatan 'sewa tayar' untuk meluluskan kenderaan mereka dalam pemeriksaan Puspakom dan menyifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan berisiko tinggi.

Katanya, perkara itu dikesan selepas melihat sendiri tawaran berkenaan yang berleluasa di media sosial terutama Facebook.

"Perbuatan seperti ini tidak boleh diteruskan dan masyarakat kena laporkan kepada pihak berkuasa kerana kegagalan pemeriksaan boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!