2025 tahun kebangkitan rakyat

Muhammad Hilman
Muhammad Hilman
A
A
A

SHAH ALAM - Tahun 2025 akan menjadi tahun kebangkitan rakyat untuk perubahan Malaysia lebih baik.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, 2024 merupakan tahun mencabar kepada rakyat yang terjejas dengan kesukaran ekonomi.

Beliau berkata, ia bukan hanya menjejaskan rakyat berpendapatan rendah tetapi pemain industri, peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) serta pengguna turut terkesan.

"Kita juga sedang berhadapan dengan jangkaan kenaikan tarif elektrik yang pastinya menambah beban kesusahan rakyat dengan mempertingkat lagi kadar inflasi dan kos sara hidup," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau mendakwa, kebebasan bersuara kian terbatas selain penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa dengan menekan suara-suara yang berbeza pandangan dengan Kerajaan Madani.

Katanya, Malaysia menduduki tangga teratas dalam senarai TikTok sebagai negara dengan permintaan tertinggi oleh kerajaan untuk menyekat atau menghapuskan kandungan.

"Tahun baru 2025 harus menjadi titik perubahan. Mustahak bagi kita menggalang kebangkitan rakyat, keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan seluruh warga dengan kesatuan yang utuh.

"Perubahan hanya akan terbit jika kita bersatu untuk Malaysia. Sudah tiba masanya, untuk kita semua segera menjana perubahan demi masa depan Malaysia yang lebih unggul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!