Hukuman sebat: Kedah serah kepada badan kehakiman

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyerahkan beg cenderamata kepada pelancong Thailand yang melancong ke Kedah pada Rabu sempena Tahun Melawat Kedah 2025 di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyerahkan beg cenderamata kepada pelancong Thailand yang melancong ke Kedah pada Rabu sempena Tahun Melawat Kedah 2025 di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
A
A
A

KUBANG PASU - Kerajaan negeri Kedah menyerahkan kepada badan kehakiman untuk menentukan pelaksanaan hukuman sebatan terbuka bagi pesalah syariah di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan berkenaan memandangkan ia adalah bidang kuasa eksekutif badan kehakiman.

"Urusan Mahkamah Syariah, mahkamah apa pun kerajaan tak boleh nak campur. Mahkamah akan putuskan rotan atau rejam, semua mahkamah, kita tak boleh campur urusan mahkamah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Kedah 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat oleh kehakiman haruslah dihormati kerana ia pemisahan kuasa antara kehakiman dan eksekutif.

"Terdapat tempat yang telah digazetkan untuk hukuman sebegini di bawah takzir. Ia bukan urusan kita untuk mendahului kehakiman.

“Terdapat kehakiman dan terdapat kerajaan. Terdapat pembahagian kuasa yang jelas antara kedua-dua bidang kuasa," ujarnya.

Terengganu baru-baru ini menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan hukuman sebat terbuka.

Pekerja pembinaan, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di negeri berkenaan yang dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengumumkan bahawa cadangan untuk memperkenalkan sebatan terbuka di semua negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura yang akan datang.

Selain Terengganu, negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional termasuk Kelantan, Kedah dan Perlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!