WeChat, TikTok, Telegram, Meta mohon lesen operasi - SKMM
SHAH ALAM - Sebanyak empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan.
Menurutnya, selepas WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka.
"Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat. Manakala Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
"X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google yang mengendalikan YouTube,belum menghantar permohonan kepada SKMM.
"Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.
"Ketika ini SKMM sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X," katanya pada Rabu.
Tambah SKMM, berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah kerangka pelesenan.
Jelasnya, SKMM telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi kerangka pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.
"Kami akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan,"ulasnya.
SKMM memberitahu, keperluan pelesenan itu menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian dan mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak serta golongan rentan.
Ulas SKMM, pada masa sama pihaknya menambah baik pengawasan kawal selia untuk penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.
"SKMM memuji usaha penyedia perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.
"Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!