Kakitangan klinik maut dilanggar kereta ketika pulang kerja
KUALA SELANGOR - Seorang kakitangan klinik kesihatan maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32 Jalan Klang-Teluk Intan, Jeram pada Selasa.
Mangsa berusia 57 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Wave itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Klang ke rumahnya di Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, dalam kejadian pada jam 6.11 petang itu, mangsa menunggang motosikal di lorong kiri sebelum dilanggar sebuah Perodua Ativa dari arah bertentangan.
"Kejadian mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kawasan parit kecil di sebelah kiri jalan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pemandu SUV berumur 49 tahun itu turut mengalami kecederaan dan dibawa ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!