Mulakan tahun baharu dengan politik berhemah, berakhlak - Mohd Khairuddin
SHAH ALAM - Boleh sahaja mengkritik pendekatan Madani menggunakan pelbagai bahasa yang enak tetapi tidak dengan mencela menggunakan panggilan jahiliah.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, permulaan awal Rejab dan tahun 2025 sepatutnya didahului dengan politik berhemah dan berakhlak.
Menurutnya, pendekatan Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah yang terbaik, dengan menjadikan Madinah Rasulullah SAW sebagai acuannya.
“Konsep itu menjadikan iman menjadi asas, integriti sebagai hiasan, ihsan berkebajikan selaku amalan dan kemajuan sebagai impian.
“Ada pihak sewenang-wenangnya menggelar Madani sebagai jahiliah menurut kayu ukur sendiri kerana berbeza aliran politik. Kita ingin memperingatkan bahawa menggelar pihak lain adalah sebenar-benar perangai jahiliah.
“Hal ini ditegur oleh Rasulullah SAW kepada sahabat bernama Abi Zar al-Ghifari yang menghina ibu seseorang dengan dengan katanya ‘wahai si anak perempuan berkulit hitam’, mengikut riwayat hadis Muslim, ayat 1661,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Rabu.
Mohd Khairuddin menjelaskan, hadis itu menegaskan betapa hubungan sesama Muslim adalah hubungan bersaudara.
“Demikianlah juga orang Islam yang berbeza politik sekalipun, tetap bersaudara yang haram dihina, dikeji dan dicela,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!