Beri peluang Rob Friend buktikan kredibiliti

Bekas pemain kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.
Bekas pemain kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.
A
A
A

PEMINAT bola sepak tempatan perlu memberi peluang kepada bekas pemain kebangsaan Kanada Robert Douglas Friend, untuk membuktikan kredibilitinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Effendi Jagan Abdullah mengakui berasa sedikit terkilan dengan luahan segelintir peminat yang seolah-olah mempersoalkan kewajaran pelantikan individu yang lebih dikenali sebagai Rob Friend itu.

"Kita harus bersabar dan tak boleh terus menekan butang panik. Kita kena ingat Kota Rom tidak dibina dalam sehari, jadi berilah masa kepadanya (Rob Friend).

"CV (vitae kurikulum) dia cukup menggagumkan, namun orang pertikaikan di media sosial lebih-lebih lagi dengan menyatakan bola sepak Kanada bukan yang terbaik. Kita perlu beri peluang dan sokong, tidak perlu berfikir negatif sepanjang masa, sampai bila pun tak boleh berjaya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Rob Friend yang berpengalaman luas dalam selok-belok bola sepak Kanada berdepan cabaran mengadaptasi dengan acuan bola sepak tempatan sebelum dapat meningkatkan tahap permainan skuad kebangsaan.

Effendi berkata, halangan awal yang mungkin dihadapi Rob Friend sebaik memulakan tugas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya ialah menyesuaikan diri dengan mentaliti dan cara bekerja di sini yang berbeza dengan pengalamannya di negara Barat.

Beliau pada masa sama berharap bekas pemain kelab Jerman Borussia Monchengladbach itu, mampu memainkan peranan dalam melonjak prestasi Harimau Malaya untuk tempoh tiga tahun lagi.

"Penekanan harus diberikan dalam meletakkan sasaran lebih realistik dengan cuba menyasarkan untuk menjuarai Piala ASEAN terlebih dahulu, diikuti beraksi di Piala Asia dan mencapai misi layak ke Piala Dunia pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa pula mahu melihat kebijaksanaan bekas jentera serangan Borussia Monchengladbach itu bekerjasama dengan kelab tempatan, dalam melepaskan pemain bagi menyarung jersi Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

"Rintangan besar beliau ialah berdepan ego pasukan kelab dalam lepaskan pemain mereka untuk digunakan pada aksi di luar kalendar FIFA (Persekutan Bola Sepak Antarabangsa), seperti apa yang berlaku dalam dua kempen Piala ASEAN sebelum ini,” katanya.

Mohd Sadek juga berharap bekas pemain kelab Amerika Syarikat LA Galaxy itu mampu bekerjasama dengan ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski dari Australia dan ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan Mohd Nafuzi Zain, dalam merevolusikan aspek pembangunan akar umbi.

Berasal dari Rosetown di Saskatchewan, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun bulan ini, hadir dengan portfolio memberangsangkan menerusi penglibatan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014 - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!