Kebakaran besar di tahun baharu, 261 hilang tempat tinggal
Kebakaran berlaku kira-kira 10 pagi itu memusnahkan 39 rumah setinggan kayu di penempatan berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Abdul Rahman Ali berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan menerima panggilan kecemasan pada 10.47 pagi dan segera menghantar anggota bomba ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal dalam masa kurang sejam hasil kerjasama pantas dengan bantuan masyarakat dan berkesan mencegah kerosakan lebih teruk.
"Kami berjaya memadamkan api kurang daripada satu jam dan tiada kemalangan jiwa...tindakan pantas anggota bomba kami menyelamatkan ratusan rumah kayu lain di penempatan itu," kata Abdul Rahman kepada pemberita di lokasi.
Beliau berkata, punca kebakaran kini dalam siasatan.
Ini bukan kali pertama bencana sebesar itu melanda komuniti berkenaan kerana pada 2009 kebakaran serupa memusnahkan ratusan rumah di penempatan yang sama, menonjolkan kelemahan struktur kayu kepada bahaya kebakaran.
Pemerhatian Bernama mendapati penduduk, termasuk kanak-kanak dan warga emas, dilihat mengumpul barang-barang mereka dan mencari perlindungan sementara ketika pihak berkuasa menyelaraskan usaha bantuan.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud yang ditemui di tempat kejadian berkata, pasukan kecemasan bersama agensi-agensi tempatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang menghulurkan bantuan kepada keluarga terkesan.
Beliau berkata, terdapat 334 rumah di penempatan padat penduduk berkenaan yang menempatkan kira-kira 1,700 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!