Penyu agar ditemui mati dengan kesan cedera
KEMAMAN - Seekor penyu jenis agar ditemui mati dengan kesan kecederaan pada bahagian ekor di Pantai Penunjuk Kijal di sini pada Selasa.
Bangkai penyu itu ditemui oleh Amru Rashid, 37, dan rakannya, Che Wan Suhaimi Che Wan Sidik, 53, ketika sedang sedang berehat di pantai tersebut pada jam 6.40 petang.
Amru menyatakan ketika kejadian mereka ternampak objek besar yang terdampar di tepi pantai dan sedang dipukul ombak.
"Kami terus berlari untuk melihat objek itu dan alangkah terkejutnya mendapati seekor penyu dalam keadaan terbalik telah pun mati malah terdapat kesan kecederaan pada bahagian ekor.
"Penyu itu berkemungkinan mati terjerut pukat. Melihat keadaan penyu yang masih sempurna dan tidak berbau serta tidak mereput, kami percaya penyu itu baru sahaja mati," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Amru berkata, penyu itu dianggarkan seberat lebih 80 kilogram.
"Kami cuba telingkup semula badan penyu yang terbalik itu dan ia memang agak berat.
"Biasanya penyu ini mati kerana terjerut pukat atau termakan plastik. Jadi memang agak sayang, penyu yang sebesar itu mati begitu sebab bukan mudah nak jumpa penyu bersaiz besar pada masa sekarang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!