Pertimbang hukuman lebih berat terhadap pengendali syarikat kenderaan berat
SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap pengendali syarikat kenderaan berat seperti bas ekspres, bas persiaran, lori tangki dan juga lori yang membawa muatan berlebihan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak berkenaan seharusnya bertanggungjawab terhadap kemalangan yang disebabkan kenderaan tidak diselenggara dengan betul.
“Dia (majikan) tidak boleh cakap setiap kemalangan itu salah pemandu. Ada kes yang mana kemalangan berlaku disebabkan penyelenggaraan kenderaan yang bermasalah.
“Seperti yang baru berlaku, tayar lori tercabut mengakibatkan satu kemalangan meragut sehingga tujuh nyawa dan 33 orang cedera.
“Jadi, saya rasa majikan juga sepatutnya diheret ke mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Baru-baru ini pihak berkuasa mendedahkan bahawa arahan mewajibkan syarikat bas menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) tidak diambil secara serius.
Dalam satu operasi yang dijalankan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 25 bas ekspres dan bas persiaran kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan itu.
Lebih mengejutkan, operasi khas yang dijalankan di tiga plaza tol itu turut menyaksikan sebuah bas ekspres disita kerana pemandunya tidak memiliki lesen memandu.
Mengulas lanjut, Lam Thye mengharapkan pihak kerajaan akan meneliti dan mengkaji undang-undang berkaitan kenderaan berat dengan tujuan pihak majikan diwajibkan bertanggungjawab dengan kemalangan yang berlaku.
Bagaimanapun katanya, jika pemandu yang melakukan kesalahan seperti minum alkohol dan mengambil barangan terlarang seperti dadah sebelum memulakan perjalanan, maka mereka yang harus dipersalahkan.
“Kalau itu betul-betul salah pemandu, maka hukumlah dia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!