19 bayi tahun baharu dilahirkan di Pahang
KUANTAN - Seramai 19 bayi tahun baharu selamat dilahirkan di tujuh hospital di negeri ini bermula jam 12 tengah malam hingga 11.30 pagi Rabu.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, bayi berkenaan terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan perempuan.
Menurutnya, 15 bayi dilahirkan secara normal manakala empat lagi melalui kaedah pembedahan.
"Bayi tahun baharu terawal negeri Pahang dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini jam 12.12 pagi merupakan bayi lelaki Melayu seberat 2.85 kilogram (kg).
"Bayi bertuah ini merupakan anak ketiga pasangan dari Kempadang dan dilahirkan melalui kaedah bersalin secara normal," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Dr Rusdi berkata, HTAA mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 10 bayi dilahirkan.
"Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lipis masing-masing mencatatkan dua kelahiran manakala Hospital Raub, Hospital Pekan dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Higlands masing-masing satu kelahiran.
"Tahniah kepada ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari pertama tahun 2025 ini. Semoga anak-anak ini terus sihat dan membesar menjadi anak-anak yang membanggakan kedua ibu bapa dan keluarga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!