Rai tahun baharu dengan aktiviti mendaki, ceramah agama di Bukit Kepayang
SEREMBAN - Sempena sambutan tahun baharu yang jatuh pada 1 Rejab 1446 Hijrah, sekumpulan wanita yang menggelarkan mereka sebagai 'team terpaling hiker' menganjurkan aktiviti ceramah agama di kaki Bukit Kepayang di sini.
Seawal jam 7.30 pagi, seramai 30 peserta memulakan pendakian di bukit setinggi 205 meter itu dan sampai jam 8.20 pagi.
Menurut penganjur program, Nor Ashikin Ahmad Jazari, 35, inisiatif mengadakan program seumpama itu bertujuan meraikan sambutan tahun baharu dengan aktiviti yang lebih bermanfaat.
"Memandangkan tahun baharu kali ini jatuh pada 1 Rejab, jadi kami fikir alangkah baiknya sekiranya ia diisi dengan aktiviti tausiyah iaitu berkongsi nasihat.
"Di samping nak menggalakkan gaya hidup sihat dengan mendaki, kita juga nak ingatkan antara satu sama lain tentang keberkatan bulan Rejab ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, sesi perkongsian ilmu disampaikan oleh ustazah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan kira-kira satu jam.
Ujarnya, selain dapat mengeluarkan peluh, aktiviti mendaki juga boleh memberi peluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan ALLAH.
"Sambutan tahun baharu ini sungguh bermakna buat kami kerana pertama kalinya mendaki sambil menimba ilmu dan menjadikan aktiviti ini sebagai satu pahala serta mengambil ibrah sunnah dalam hidup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!