Ramai dikesan pandu lebih had laju, guna lorong kecemasan

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman melaksanakan 175 operasi dengan 11,157 kenderaan diperiksa.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman melaksanakan 175 operasi dengan 11,157 kenderaan diperiksa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pandu lebih had laju dan guna lorong kecemasan merupakan kesalahan paling banyak direkodkan menerusi Op Ambang Tahun Baharu yang dilaksanakan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi selama lima jam bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, itu melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 2,556 keanggotaan.

Menurutnya, JSPT telah melaksanakan 175 operasi dengan 11,157 kenderaan diperiksa.

"Pemeriksaan meliputi 3,736 kereta, 5,688 motosikal dan 1,733 lagi lain-lain kenderaan.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

"Dalam operasi ini, sebanyak 5,433 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas selain 36 tangkapan iaitu 33 orang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dua orang di bawah Kanun Keseksaan dan seorang lagi mengikut tindakan Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, JSPT telah menyita 466 kenderaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, berdasarkan pecahan sitaan, motosikal sebanyak 398, kereta (66) serta dua lagi lain-lain kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi motosikal, sitaan dibuat kerana kesalahan ubah suai yang ekstrem termasuklah ekzos dan tiada brek belakang," katanya.

Mengulas lanjut, kata Mohd Yusri, tiga kesalahan tertinggi yang dikesan ialah memandu melebihi had kelajuan iaitu 1,021 saman, menggunakan lorong kecemasan (953 saman) dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat merah sebanyak 433 saman.

"JSPT menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan diri sendiri dan semua pengguna jalan raya lain.

"Pastikan kenderaan yang berada di jalan raya selamat digunakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!