105 warga asing ditahan malam tahun baharu
JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 105 warga asing dalam Ops Sapu di kawasan tapak pembinaan di Masai di sini pagi awal pagi Rabu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi ambang tahun baharu tersebut dilakukan di penempatan pekerja pada jam 1.15 pagi.
“Seramai 454 warga asing dan warga tempatan diperiksa dan 105 individu telah ditahan.
“Kesemua mereka yang ditahan melibatkan 20 lelaki dan empat wanita warganegara Indonesia, 16 lelaki Myanmar, satu lelaki Pakistan dan 64 lelaki Bangladesh.
“Mereka yang ditahan berusia antara 20 tahun hingga 56 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, semua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, tahanan warga asing tempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Operasi kali ini merupakan strategi JIM Johor menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini yang melanggar akta dan peraturan imigresen.
"JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan imigresen.
“Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggaji serta melindungi PATI,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!