Pemandu mabuk dicekup dalam operasi malam tahun baharu

Kesemua kenderaan disita di bawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.
Kesemua kenderaan disita di bawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.
A
A
A

AMPANG JAYA - Tindakan dua lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Ambang Tahun Baharu di sini pada Rabu.

Kedua individu warga tempatan berumur antara 30 tahun hingga 40 tahun mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

Ujian nafas yang dijalankan terhadap kedua-dua pemandu itu kemudiannya mendapati tahap kandungan alkohol dalam darah telah melebihi had yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi ambang Tahun Baharu ini melibatkan Op Motosikal, Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan di beberapa kawasan antaranya Jalan Susur Taman Kencana, Jalan Putra dan Jalan Ampang, Bukit Saujana.

Beliau berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula jam 9.30 malam hingga jam 5 pagi.

"Seramai 193 individu dan 193 kenderaan diperiksa dalam operasi ini, selain itu sebanyak 208 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

"Tiada lesen memandu merekodkan antara kesalahan tertinggi dikesan selain kesalahan lain seperti ubah suai ekzos, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan pelbagai kesalahan lain," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, sitaan turut dijalankan melibatkan 36 kenderaan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64(1) dan Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan yang disita ini didapati telah diubah suai pada bahagian ekzos dan ada juga kenderaan yang dipandu warga asing, kesemua kenderaan disita dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, operasi sama turut menahan tiga individu termasuk seorang lelaki bagi kesalahan waran tangkap saman," katanya.

Menurutnya, operasi sama turut menahan dua lelaki yang didapati memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Merujuk kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

"Individu terbabit juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi daripada RM30,000 serta lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!