Geng basikal lajak didenda ketuk ketampi
KUALA LUMPUR - Basikal tidak mempunyai brek, loceng, lampu dan menunggang secara bersaing dan membahayakan menjadi punca kumpulan remaja ditahan dan dikenakan denda ketuk ketampi secara sukarela.
Kesemua 21 remaja berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam, Selasa, semasa sekatan jalan raya yang dilakukan menerusi operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 iaitu sekatan ke atas penunggang basikal.
Katanya, tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Bagaimanapun, seorang pegawai kanan JSPT Kuala Lumpur bersama seorang pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit.
"Remaja itu diberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas-petugas di sekatan jalan raya itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kumpulan remaja ini kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal tersebut dan terus pulang ke rumah masing-masing.
Jelasnya, video tindakan advokasi ini telah menjadi tular dan rata-rata netizen memuji pendekatan budi bicara yang digunakan oleh pihak polis dan JPJ.
"Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kumpulan remaja terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut.
"Advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik sekali gus memberi peluang untuk memperbaiki diri dan mengelakkan dari melakukan kesalahan yang sama di kemudian hari," ujarnya.
Tambahnya, JSPT menasihatkan kepada golongan muda supaya tidak melakukan kesalahan lalu lintas dan menunggang dengan cara berbahaya supaya kecederaan atau kemalangan jiwa dapat dielakkan.
"Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk lebih prihatin dan memantau anak-anak supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyalahi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!