Sekolah perlu buat pembaharuan elak pelajar dibuli

Gesa sekolah buat pembaharuan elak pelajar dibuli secara ekstrem lagi. Foto hiasan
Gesa sekolah buat pembaharuan elak pelajar dibuli secara ekstrem lagi. Foto hiasan
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENDEDAHAN eksklusif dibuat beberapa bekas pelajar sekolah berasrama penuh terkenal bersama ibu bapa masing-masing amat membimbangkan.

Ia kerana gejala buli yang dikatakan kononnya menjadi tradisi kebanggaan sekolah berkenaan sejak 80-an lagi masih berlaku sehingga ke hari ini.

Tidak dinafikan, pelajar yang ingin memasuki sekolah itu sememangnya mahu membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin tinggi.

Bukan itu sahaja, mereka juga sudah bersedia sejak awal bakal menerima segala bentuk hukuman bagi memantapkan disiplin masing-masing.

Bagaimanapun, siapa sangka bentuk hukuman seperti ‘push-up knuckle’, ‘squat jump’, ‘commando rest’ dan lain-lain dibuat secara melampau oleh senior Tingkatan Lima sehingga membahayakan nyawa pelajar.

Jurulatih juga didakwa terlalu memberikan kebebasan kepada senior untuk ‘mendidik’ pelajar lain kerana tidak mahu mencalarkan nama baik atau menjejaskan jawatan sendiri.

Akhirnya, dek kerana membiarkan senior perangai mentah sebegini menguruskan pelajar lain, ia adakalanya membawa kepada kejadian malang.

Apabila melihat muka depan Sinar Harian hari ini, orang ramai khususnya ibu bapa kepada alumni sekolah berasrama penuh itu pasti mempersoalkan mengapa masih lagi ada yang sudi menghantar anak ke institusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mana tidaknya, kata-kata nista seperti ‘apa yang kau jangka bila hantar anak ke sekolah berasaskan tentera, memang kena hukumlah’ atau ‘dasar anak manja, denda sikit pun nak mengadu’.

Kejadian buli memang berlaku waima di tempat kerja sekalipun, tetapi buli keterlaluan sehingga meragut nyawa orang lain adalah suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Dipaksa pacak kepala sambil muka dilemaskan, diarah rendam kaki dalam air panas menggelegak konon gurauan antara jurulatih dan pelajar, dipijak secara rawak di atas dada beramai-ramai, sangat gila serta tidak masuk akal!

Ini sekolah berasrama penuh Tingkatan Empat dan Lima atau pusat latihan tentera?

Berapa ramai ibu bapa terpaksa mendiamkan diri dan tidak mahu lapor polis atau mengemukakan tuntutan saman kerana majoritinya bukan golongan berada serta tidak mampu melawan pengurusan sekolah.

Maka, terlalu banyak kes dibiarkan tergantung begitu sahaja, senyap dan ‘no further action’ (NFA).

Oleh yang demikian, ada antara ibu bapa yang tidak dapat menuntut bela kematian anak mereka di sekolah terbabit sehingga sekarang.

Justeru, atas penuh rasa tanggungjawab dan empati, ibu bapa kepada salah seorang mangsa tampil sebagai wakil penjaga lain untuk menggesa pembaharuan dibuat di peringkat pengurusan sekolah.

Tujuan utamanya tidak lain tidak bukan sekadar mahu sekolah berasrama penuh itu rasa selamat tanpa ada kes buli sehingga menyebabkan kematian, setidak-tidaknya 50 peratus berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya lagi, mereka tidak mahu insiden menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain berulang lagi kerana beberapa pelakunya didakwa merupakan lepasan sekolah berkenaan.

Ibu bapa tersebut juga mendakwa, segala bentuk denda melampau hanya boleh didapati dan dipelajari daripada institusi terbabit kerana ia amat berstruktur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!