Wanita kantoi jual produk kosmetik curi
KUALA LUMPUR - Seorang penjual produk kosmetik dan kecantikan dalam talian kerugian kira-kira RM4,000 apabila menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang mengaku boleh mendapatkan barangan yang dijual di farmasi terkenal dengan harga murah.
Mendedahkan perkara itu wanita dikenali Ain, 30, berkata, dia termakan dengan pujukan wanita itu selepas diperdaya untuk memperoleh barangan penjagaan diri dan kosmetik jenama terkemuka dengan harga rendah.
Mangsa yang juga aktif menjalankan perniagaan jual beli barangan penjagaan diri dan suplemen menerusi media sosial memaklumkan telah mengenali suspek sejak dua tahun yang lalu.
“Wanita itu aktif berniaga menerusi aplikasi e-dagang dan memberitahu barangan jualannya diperoleh secara terus dari gudang.
“Pada mulanya saya hanya membeli produk suplemen dan urus niaga berjalan dengan baik.
“Sehinggalah pada November dan Disember lalu, suplemen serta produk kosmetik yang sudah dibayar gagal diperoleh sepenuhnya dengan wanita berkenaan memberikan pelbagai alasan dan janji," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ain berkata, identiti sebenar wanita berusia 30-an itu terbongkar apabila kisah yang dikongsi di akaun di TikToknya baru-baru ini mendapat perhatian.
“Bila video yang saya buat viral, ramai penjual barangan penjagaan kesihatan, produk kecantikan dalam talian yang pernah menjadi mangsa menghubungi saya dan memaklumkan wanita itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Banting kerana terlibat dalam kes curi.
“Rupa-rupanya menerusi maklumat polis, dia terlibat mencuri barangan dari sebuah farmasi terkenal.
“Malah barangan yang dicuri disyaki barangan yang akan dijual kepada pembeli dengan harga yang murah,” ujarnya.
Tambahnya, pihak pengurusan farmasi berkenaan telah mengenal pasti wanita itu kerana dipercayai turut terlibat mencuri barangan daripada beberapa cawangan farmasi itu di sekitar Lembah Klang.
Ain berkata, keluarga wanita itu ada menghubunginya meminta maaf dan mengaku bahawa wanita itu dan suaminya juga pernah terlibat dengan kes dadah sebelum ini.
“Saya buat laporan polis mengenai kerugian yang dialami serta tidak mahu dituduh bersubahat kerana pernah membeli barangan daripadanya sebelum ini,” katanya
Jelasnya, wanita itu juga licik memperdaya mangsa dan jumlah keseluruhannya penipuan yang dilakukan kepada penjual dalam talian lain dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!