DPMM bimbang perniagaan dalam talian terjejas
SHAH ALAM - Penguatkuasaan peraturan mewajibkan lesen bagi semua pengendali media sosial dan permesejan internet bermula 1 Januari menimbulkan kerisauan baharu bagi golongan usahawan khususnya aktiviti perniagaan dalam talian.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, organisasi itu memandang serius sekiranya langkah tersebut akan menyekat peluang perniagaan dalam talian dan kebebasan masyarakat mendapatkan informasi.
“DPMM sebenarnya menyokong hasrat kerajaan untuk membendung masalah penipuan dalam talian, buli siber dan seumpamanya. Malah, kerajaan juga menggalakkan perniagaan secara dalam talian melalui Ekonomi Madani.
“Bagaimanapun, apa akan jadi sekiranya penyedia platform tidak memohon lesen? Adakah kerajaan akan tutup platform berkenaan?
“Sekiranya ditutup, sudah tentu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berniaga secara dalam talian akan terjejas. Apa nasib mereka selepas ini?” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang penguatkuasaan peraturan baharu itu seperti ditetapkan mengikut pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bermula 1 Januari.
Persoalan terbesar ketika ini ialah kemungkinan plafform media sosial akan digantung di negara ini jika ada syarikat gergasi teknologi antarabangsa yang bukan beroperasi di Malaysia enggan berbuat demikian.
Norsyahrin turut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sudah bersedia dengan platform alternatif untuk menggantikan platform yang mungkin ditutup.
“Buat masa ini, 32 peratus rakyat Malaysia menggunakan media sosial untuk mencari barang untuk dibeli.
“Ini akan menyusahkan rakyat sekiranya kerajaan tidak ada penyelesaian jika platform sedia ada tidak memohon lesen. Kena fikirkan juga 39 peratus pengguna yang mencari idea untuk berniaga daripada media sosial,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!