Keluarga pernah buat aduan kepada pihak sekolah tapi tidak dipeduli
KUALA LUMPUR - Budaya buli patut dihentikan dari alam persekolahan lagi agar ia tidak menjadi barah yang dibiarkan merebak sehingga ke peringkat universiti.
Seorang bapa yang dikenali sebagai Husin berkata, dia sudah cukup tertekan dengan kejadian buli menimpa anaknya di sekolah berasrama penuh berkenaan dan mahukan perubahan dari aspek tradisi serta pengurusan.
Menurutnya, pernah terdetik di hatinya mahu membuat laporan polis namun bimbangkan keselamatan jika butiran peribadi bocor dan sampai ke pengetahuan pengurusan sekolah.
Justeru, katanya, beliau bersama isteri memutuskan untuk menghantar surat memohon penjelasan daripada pihak sekolah dan salinannya dihantar kepada kementerian terbabit, namun dilayan acuh tak acuh seakan-akan mahu kes dilupakan begitu sahaja.
“Pada hari sama saya berjumpa dengan pengetua sekolah, dia melenting dan tanya kenapa perlu hantar surat? Waktu itu saya sudah dapat rasa yang kes ini tidak akan ke mana,” katanya.
Husin berpandangan sekolah wajib mewujudkan ‘talian hayat’ berkecuali tanpa penglibatan pihak pengurusan melainkan kaunselor atau guru awam yang tiada kepentingan peribadi.
Katanya, ia bagi memudahkan urusan pelajar sekiranya mahu berkomunikasi dengan dunia luar atau mendapatkan rawatan segera andai dibuli senior mahupun pegawai atasan.
“Kadang-kadang dua tiga minggu sekali baru dapat jumpa anak, ada sampai tahap berbulan-bulan. Ikut suka hati mereka mahu tentukan bila pelajar boleh cuti. Jadi, pelajar tiada komunikasi dengan dunia luar sebab tak boleh bawa telefon bimbit.
“Saya tahu ada pelajar tak yakin akan selamat kalau melapor kerana budaya mereka, jika lapor maka hukuman kepada pelaku tak setimpal misalnya sekadar gantung sekolah. Kemudian, si pelapor pula akan kena lebih teruk.
“Sepertinya tiada usaha mendidik tentang keburukan buli sebab Tingkatan Lima memang diberi kuasa oleh jurulatih untuk menghukum junior,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!