Malaysia boleh contohi tindakan Indonesia
SHAH ALAM - Malaysia tidak terjejas dengan tindakan Indonesia menghentikan import beras, garam, gula dan jagung kerana negara ini bukan pengeluar utama kesemua komoditi berkenaan.
Pakar ekonomi dari University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, namun ketetapan yang dibuat negara jiran itu boleh dicontohi bagi meningkatkan sekuriti makanan Malaysia.
“Negara tidak terkesan sebab kita tidak eksport barang keperluan ini ke Indonesia lebih-lebih lagi beras. Bekalan beras dalam negara sendiri pun tidak mencukupi dan kita banyak import antaranya dari Vietnam, Thailand serta Kemboja.
“Bagi saya langkah dibuat Indonesia supaya negara mereka sendiri menjadi pengeluar bahan keperluan asas berkenaan terutamanya beras kerana mereka ada kawasan tanaman padi yang banyak di Jawa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebelum ini dilapor mengarahkan menterinya untuk menghentikan import beras, garam, gula dan jagung pada tahun 2025.
Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat di Istana Negara, Menteri Penyelaras Makanannya, Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa tiada kuota import akan ditetapkan bagi komoditi itu pada tahun ini.
Shazali berpandangan, kebergantungan Malaysia terhadap bekalan makanan dari negara luar menunjukkan sekuriti makanan negara masih rapuh hingga jumlah import semakin meningkat setiap tahun.
“Jadi apa yang boleh dipelajari daripada tindakan Indonesia ini, Malaysia juga perlu segera wujudkan dasar yang holistik supaya dapat keluarkan lebih banyak bekalan makanan sendiri terutamanya beras kerana nasi merupakan makanan ruji rakyat kita.
“Walaupun kos pengeluaran beras ini tinggi tapi kita kena keluarkan sendiri juga bekalan kerana ia membabitkan keselamatan negara. Saya juga lihat ketika ini syarikat swasta masih kurang mainkan peranan dalam penyediaan bekalan makanan asas ini,” ujarnya.
Justeru, Shazali menyarankan supaya kerajaan mewajibkan syarikat yang mempunyai ladang kelapa sawit untuk turut mengusahakan tanaman padi dan sebagai timbal balik, keistimewaan wajar diberikan kepada syarikat berkenaan dari segi pengurangan cukai, insentif dan sebagainya.
Jelasnya, kerajaan Persekutuan juga harus menyediakan kemudahan saliran air terutama di Sarawak yang memiliki tanah yang luas selain turut membantu meningkatkan pengeluaran padi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!