Tidak jejas kebebasan bersuara - Pakar

Laporan Sinar Harian mengenai mengikut pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada Rabu. Gambar kecil: Azwa
Laporan Sinar Harian mengenai mengikut pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada Rabu. Gambar kecil: Azwa
A
A
A

SHAH ALAM - Penguatkuasaan peraturan yang mewajibkan semua pengendali media sosial dan permesejan internet seperti ditetapkan mengikut pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak akan menyekat kebebasan bersuara rakyat di negara ini.

Ketua Kluster Penyelidikan (Teknologi Pintar dan Sistem) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Azwa Abdul Aziz berkata, pelaksanaan undang-undang baharu tersebut memfokuskan kepada tiga perkara utama iaitu mengekang eksploitasi seksual kanak-kanak, buli siber dan penipuan dalam talian.

Malah katanya, perubahan terma perseorangan kepada pengendali yang terkandung dalam akta itu juga turut memperlihatkan penguatkuasaan itu lebih kepada skop meluas, bukan kepada individu secara langsung.

“Saya lihat pelaksanaan undang-undang baharu ini bersifat lebih positif dan tidak nampak akta ini akan disalahgunakan untuk sekat kebebasan secara individu.

“Baru-baru ini juga kita dapat tengok pesalah jenayah seksual kanak-kanak dihadapkan ke mahkamah. Maksudnya penguatkuasaan ini mewujudkan kerjasama baik antara semua pihak khususnya pasukan keselamatan dalam mengendalikan kes jenayah.

“Jadi, undang-undang ini sebenarnya untuk mengekang jenayah seperti buli siber, eksploitasi seksual kanak-kanak dan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan ketika ini supaya pihak pengendali lebih peka dan tangani sebaiknya perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, ditanya mengenai kaedah untuk memastikan peraturan tersebut tidak disalahgunakan terutamanya melibatkan perkara berkait politik yang sering dibangkitkan, beliau berkata, situasi itu bergantung kepada apa tindakan akan diambil terhadap pengendali yang gagal mendaftar nanti.

Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu melihat pelaksanaan akta itu dalam aspek positif terutamanya dalam membendung jenayah di media sosial yang semakin membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!