Tidak perlu pertikai hukuman sebat

Mohd Affendi dibawa keluar selepas selesai menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada Jumaat. Foto Bernama
Mohd Affendi dibawa keluar selepas selesai menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PADA 27 Disember lalu, seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Ketika hukuman dilaksanakan di Dewan A’asim Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, wajah Mohd Affendi Awang, 42, yang bekerja sebagai tukang rumah ditutup menggunakan pelitup muka dengan tangannya disilangkan atas meja dalam keadaan berdiri membelakangi 90 saksi.

Prosedur sebatan oleh tukang sebat dari penjara itu hanya memakan masa dua minit sebelum pesalah keluar diiringi dua pegawai penjara untuk masuk semula ke bilik pemeriksaan.

Kes sebatan syariah yang mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak itu menarik perhatian lebih 100 orang yang berkumpul di luar dewan selepas solat Jumaat untuk melihat bagaimana hukuman dijalankan.

Bagaimanapun hanya 70 orang terdiri daripada wakil kerajaan negeri, wakil setiap jabatan, wakil persatuan peguam dan wakil media dibenarkan melihat proses sebatan tersebut dijalankan.

Sebelum hukuman sebatan itu dilaksanakan, pegawai mahkamah syariah yang membaca fakta kes pesalah berkenaan turut menyatakan bahawa hukuman sebatan tersebut bukanlah untuk menyakiti pelaku, sebaliknya ia adalah untuk mendidik supaya pesalah tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang serta memberi pengajaran kepada semua pihak.

Suasana di dalam dewan juga sepi tanpa sebarang suara dengan pemerhati tekun memerhatikan pelaksanaan hukuman dijalankan ke atas pesalah.

Hukuman sudahpun selesai walaupun sebelum ini terdapat beberapa pihak yang membantah kerana menganggap ia tidak menghormati maruah manusia, namun ada juga yang melihat ia dapat memberi pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hukuman itu diharap menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat kerana pelaksanaan hukuman sebat dilakukan dengan penuh tertib dan mematuhi prinsip keadilan Islam.

Apa yang dikatakan oleh Ahmad Samsuri terbukti apabila Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud mengatakan bahawa kerajaan negeri Kelantan bakal mengikut jejak langkah Terengganu.

Pihaknya ketika ini sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang bertepatan sebelum membuat keputusan untuk melaksanakan hukuman sebat di hadapan orang ramai.

Pada asasnya kerajaan negeri Kelantan juga sudah meluluskan perkara sama melalui Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 Pindaan 2017 yang membolehkan hukuman sebat bagi pesalah dijalankan di khalayak ramai.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi mengatakan bahawa pelaksanaan hukuman itu permulaan kerajaan negeri Terengganu mendaulatkan hukum Islam di negeri itu dan juga sebahagian daripada komitmen bagi mendukung hukum Islam.

Bagi penulis, tindakan diambil kerajaan negeri Terengganu itu tidak perlu dipertikaikan kerana Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain mengatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebat tidak membangkitkan isu Islamofobia kerana kehadiran pihak luar untuk menyaksikan hukuman tersebut tertakluk kebenaran Mahkamah Syariah.

SOP menetapkan bahawa kehadiran khalayak adalah sangat terhad dan tertakluk kepada perintah mahkamah yang mana ia hanya boleh disaksikan Pegawai Kehakiman Syariah.

Kehadiran pihak lain bergantung kepada budi bicara dan arahan mahkamah yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.

SOP hukuman terbabit tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, lebih-lebih lagi dalam jumlah besar kerana menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika.

Justeru, kita tidak perlu mempolitikkan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak. Sejauh mana hukuman itu mampu menginsafkan masyarakat yang melihat agar kesalahan atau dosa menjadi sesuatu digeruni untuk dilakukan terpulang kepada setiap individu.

* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!