Pendapat rakyat mengenai isu tarif elektrik
[DIKEMAS KINI] PEMAKLUMAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025 menjadi antara perbincangan panas minggu lalu.
Menelusuri sebab yang dikemukakan TNB untuk menaikkan tarif berkenaan adalah kerana kadar semasa sudah diguna pakai sejak 2014 dan tidak akan memberi kesan signifikan kepada golongan rentan itu.
Bukan itu sahaja, pihak tersebut juga menyatakan bahawa sebanyak 85 peratus pemegang akaun domestik iaitu sekitar 7.5 juta orang tidak akan terjejas dengan sebarang perubahan dan masih dilindungi kerajaan sehingga Jun 2025.
Pengumuman terhadap cadangan untuk menaikkan tarif itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali. Oleh yang demikian, pelbagai reaksi telah diterima daripada orang ramai berhubung isu berkenaan.
Ada dalam kalangan mereka yang menyokong dan ada juga yang membantah. Ikuti pandangan yang mereka kemukakan dalam Debat Rakyat.
SOKONG
Hanya libatkan golongan maha kaya
Sebaik sahaja mengetahui bahawa syarikat tersebut (TNB) mencadangkan kenaikan tarif elektrik bermula Julai, saya akui agak terkejut kerana ia bakal memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, setelah pengumuman cadangan tersebut dibuat dan pelbagai maklum balas diterima daripada rakyat, akhirnya pihak TNB memberi penjelasan terperinci mengenai kenaikan itu.
Ini (kenaikan tarif) yang saya nak tahu mengapa mereka mahu menaikkan tarif elektrik. Jika tidak diberi penjelasan, kami (rakyat) sudah pasti akan marah.
Penerangan daripada pihak TNB berkenaan sebanyak 85 peratus tidak akan terjejas dengan perubahan tarif itu, akhirnya memberi sedikit kelegaan kepada kami.
Saya berpandangan bahawa kenaikan tersebut hanya dikenakan kepada golongan maha kaya dan ini yang saya setuju.
Pada masa sama, saya yakin bahawa isu kenaikan tarif elektrik ini dapat diselesaikan dengan baik antara kerajaan dan pihak berkenaan.
Ini tidak boleh dibiarkan, kenaikan tarif elektrik perlu diputuskan dengan segera bagi memastikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan itu dapat dipelihara.
* Pekerja kilang, Amir Izzuandi, 37
Tidak beri kesan kepada 7.5 juta pengguna
Dalam isu cadangan untuk menaikkan tarif elektrik, saya yakin bahawa kebanyakan rakyat tidak ‘selesa’ mendengarnya kerana khuatir akan menghimpit kelangsungan hidup.
Sudah semestinya, rakyat marhaen tidak mahu sebarang kenaikan tarif dikenakan sehingga boleh menjejaskan kehidupan.
Pun begitu, saya berpegang kepada janji kerajaan dalam memastikan ia hanya dikenakan kepada golongan atasan iaitu maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan besar.
Sehubungan itu, saya percaya kerajaan tidak akan membenarkan apa-apa perubahan tarif yang boleh menghimpit kehidupan rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
Saya berharap agar kerajaan berbincang bersama pihak terlibat sebelum memutuskan sebarang kenaikan yang berlaku pada Julai nanti.
Saya hanya bersetuju jika kenaikan tarif elektrik tidak memberi kesan kepada 7.5 juta orang seperti yang diperkatakan TNB.
* Pekerja kilang, Mohamad Amir Affendi, 33
BANGKANG
Tidak wajar dinaikkan ketika kos hidup meningkat
Berita mengenai cadangan menaikkan tarif elektrik sudah semesti mengejutkan saya dan keluarga yang tergolong dalam kumpulan B40 ini.
Bagi saya, sebarang kenaikan tidak kira barangan, tarif elektrik atau penarikan subsidi pada ketika ini, sangat tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Ini kerana, rakyat kini sudah dibelenggu dengan masalah kos sara hidup. Jika benar, kenaikan tarif elektrik ini akan berlaku pada Julai 2025, saya yakin ia akan menambah beban.
Saya berharap pihak yang terlibat boleh mempertimbangkan cadangan tersebut sebelum diputuskan dengan mengambil kira aspek kehidupan dan kewangan golongan berpendapatan rendah ini.
Dalam hal ini, saya begitu mengikuti perkembangan daripada pihak kerajaan untuk tidak membenarkan sebarang kenaikan yang boleh menjejaskan kebanyakan rakyat.
Jika kenaikan itu berlaku, saya yakin ramai terkesan dan mereka akan lebih berhati-hati dalam berbelanja.
* Suri rumah, Nur Faidatul Azwa Abi Hussaini, 30
Golongan B40 akan jadi lebih susah
Saya ingin mempersoalkan akan keperluan untuk menaikkan tarif elektrik sedangkan rakyat kini dibelenggu masalah kos sara hidup?
Adakah syarikat yang bertanggungjawab dalam mengelola hal berkaitan elektrik ini sanggup melihat kebanyakan rakyat (B40) menjadi lebih susah?
Sebagai sebuah syarikat yang memonopoli sektor ini, saya harap kalian (pihak atasan) tidak membuat keputusan kerana mahu mengejar keuntungan semata-mata.
Kalian sepatutnya, bersama dengan kerajaan dalam membela nasib rakyat yang kini berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.
Sepatutnya, 2025 ini menjadi tahun melegakan buat rakyat tanpa perlu berasa gusar terhadap sesuatu ‘beban’ yang bakal ditanggung.
Saya sangat tidak bersetuju jika kenaikan tarif elektrik ini memberi kesan kepada rakyat khususnya B40 dan M40.
Diharapkan pihak yang terlibat dapat mempertimbangkan semula cadangan untuk menaikkan tarif elektrik pada Julai 2025.
* Peniaga, Mohd Hamdan Zolkifli, 38
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!