Rumah sewa jadi reban ayam
BEIJING - Seorang tuan rumah di Shanghai, China tidak menyangka bahawa rumah apartment miliknya dijadikan tempat menternak ayam oleh seorang penyewa tidak bertanggungjawab, lapor South China Morning Post.
Difahamkan, tuan rumah yang enggan dikenali tidak memeriksa kediamannya sejak dua tahun lalu dan pada awal Disember lalu semasa dia pergi ke sana dan terkejut rumahnya dijadikan reban ayam.
Katanya, ruang tamu dijadikan reban ayam dan anak ayam dilihat berlari-lari dan terbang di sekitar ruang rumah tersebut.
"Bau busuk. Kedua-dua lantai dan dinding rosak teruk dan memerlukan kerja baik pulih sepenuhnya.
"Jika tidak, tiada siapa yang sanggup menyewanya lagi," katanya dalam nada yang marah.
Tambahnya, penyewa tersebut tinggal di dalam bilik tidur rumah tersebut dan bilik lain serta ruang tamu telah dijadikan reban ayam,
Seorang wanita, bernama Wu yang tinggal berdekatan berkata, dia dan jiran lain telah mengadu kepada pihak berkuasa kediaman mengenai bau busuk rumah tersebut.
Kisah 'penyewa dari neraka' itu telah tular di media sosial di China di mana netizen terkejut dengan tindakan penyewa yang sesuka hati membela ayam di dalam rumah.
"Penyewa itu mementingkan diri sendiri. Dia harus membayar harga yang tinggi untuk tindakannya itu.
"Bagaimana dia boleh hidup dalam persekitaran sebegitu? Bagaimana dia boleh bertahan dengan bau busuk yang begitu kuat?” kata netizen. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!