Sidang Bajet martabatkan pembangkang
Koo Ham (tengah) pada sidang media, hari ini.
A
A
A
Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, tempoh tambahan sejam itu dibuat bagi membolehkan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad membuat kritikan dan memberikan pandangan.
“Untuk memartabatkan pembangkang, kita akan tambah satu peluang kepada Ketua Pembangkang untuk berucap selama sejam lagi selepas ucapannya yang pertama. Masa berbahas bagi semua Adun juga ditambah kepada 30 minit, berbanding hanya 20 minit sebelum ini.
“Masa berucap itu adalah selepas semua Exco selesai memberikan jawapan, tetapi sebelum Menteri Besar membuat penggulungan secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, sidang Dun kali ini bakal berlangsung selama enam hari mulai 27 November hingga 5 Disember kecuali 30 November, 1 dan 2 Disember.
“Selain polis bantuan Dewan Negeri, tambahan kawalan keselamatan di pintu masuk akan dibuat demi memastikan tidak ada senjata api dibawa masuk ke dalam Dewan Negeri. Jika ada mana-mana ahli dewan yang membawanya, senjata api berkenaan akan diambil dan disimpan di tempat khas yang disediakan.
“Kaedah pemeriksaan termasuk ‘body scan’ akan digunakan untuk tujuan keselamatan. Selain itu, tempat makan disediakan hanya untuk ahli dewan dan pegawai kerajaan manakala bagi orang awam kita akan peruntukkan tempat berasingan. Tetapi, perlu bayar untuk makanan macam di Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Koo Ham berkata, semua jurufoto dibenarkan masuk bagi merakamkan sesi pembentangan belanjawan oleh menteri besar.
“Bagaimanapun, masa yang diperuntukkan bagi tujuan berkenaan hanyalah selama 10 minit. Wartawan yang mahu mendapatkan komen daripada Adun kita akan cadangkan kepada Ketua BBC Perak, Loh Sze Yee supaya semua Adun boleh dihubungi untuk laporan berita.
“Selain itu boleh layari www.perak.gov.my dan youtube Sidang Dewan Undangan Negeri Perak November 2018,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ketua pembangkang diberi kemudahan]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!