ZPP kutip zakat RM169.78 juta pada 2024
GEORGE TOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjaya mengutip RM169.78 juta bagi 2024 dengan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding kutipan zakat pada tahun 2023.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, peningkatan memberangsangkan itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap pelan penstrukturan dan perubahan yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil pelaksanaan Pelan Penstrukturan MAINPP 2024, yang bermula pada 1 Mac 2024.
"Pelan ini melibatkan penstrukturan organisasi serta penambahbaikan prosedur pentadbiran dan kewangan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan ZPP.
"Peningkatan ini membuktikan keyakinan rakyat, khususnya umat Islam Pulau Pinang, terhadap usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh MAINPP dan ZPP. Ia menepis dakwaan negatif sesetengah pihak yang mendakwa pelan ini akan menjejaskan kutipan zakat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, ZPP mengumumkan jumlah keseluruhan kutipan zakat bagi tahun 2023 adalah RM159.7 juta berbanding tahun 2022 yang merekodkan jumlah sebanyak RM150.14 juta
Jumlah itu merangkumi kutipan bagi zakat harta dan zakat fitrah bagi tahun lalu.
Dalam pada itu, Mohamad turut berterima kasih kepada pembayar zakat di atas sokongan dan kerjasama yang berterusan, sekali gus membantu merealisasikan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030, selari dengan visi Penang 2030.
"Kejayaan ini tidak hanya mencerminkan keberkesanan sistem pengurusan zakat, malah semangat kerjasama yang erat di antara semua pihak berkepentingan.
“Kami akan terus komited memastikan pentadbiran zakat di Pulau Pinang kekal telus dan cekap, demi manfaat masyarakat Islam keseluruhannya,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pelan penstrukturan itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan pengurusan zakat di Pulau Pinang terus relevan dan memenuhi keperluan umat Islam.
"Rakyat diminta untuk terus menyokong usaha ini demi kemajuan dan kesejahteraan bersama," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!