Jagdeep sah lucutkan jawatan Lembaga Pengarah PBA Holdings

Jagdeep
Jagdeep
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo telah mengosongkan jawatannya dalam Lembaga Pengarah PBA Holdings.

Menurutnya, pengosongan itu berlaku disebabkan Jagdeep gagal untuk memenuhi syarat minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Beliau menambah, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu didapati gagal mencapai kehadiran minimum mesyuarat lembaga pengarah.

"Apabila mana-mana pengarah gagal mencapai kehadiran minimum, setiausaha syarikat perlu melaporkan perkara ini kepada Bursa Malaysia dan pengarah tersebut dianggap telah mengosongkan jawatannya kerana tidak mematuhi keperluan itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyalaan lampu Penang Miaohui 2025 di Armenian Park di sini pada Rabu.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBA Holdings Berhad berkata, PBA Holdings hanya mengadakan lima mesyuarat lembaga pengarah setiap tahun.

“Sebahagian ketidakhadiran beliau mungkin kerana menjalani rawatan perubatan, tetapi sebagai seorang pengarah syarikat tersenarai, setiap individu perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk mematuhi keperluan statutori.

“Bukan sahaja keperluan kehadiran, kadang-kadang kami juga perlu menghadiri kursus pengarah, ESG dan lain-lain,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, pengarah juga mungkin dikehendaki menghadiri kursus bagi memenuhi keperluan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab apabila menerima pelantikan sebagai pengarah syarikat tersenarai,” katanya.

Ketika ditanya sama ada lembaga pengarah mempunyai pengganti bagi mengisi kekosongan itu, Kon Yeow berkata, tidak ada keperluan mendesak untuk mengisi jawatan tersebut dengan segera.

“Tiada keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan itu dengan segera kerana kami mempunyai bilangan pengarah yang mencukupi buat masa ini,” katanya.

Terdahulu, PBA telah memfailkan makluman kepada Bursa Malaysia bahawa Jagdeep telah mengosongkan jawatannya sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif berkuat kuasa serta-merta mengikut Perenggan 15.05(3)(c) dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Di bawah perenggan tersebut, seseorang pengarah dianggap telah mengosongkan jawatannya sekiranya tidak hadir lebih daripada 50 peratus daripada jumlah mesyuarat lembaga pengarah sepanjang tahun kewangan.

Jagdeep dilantik sebagai Lembaga Pengarah PBA Holdings pada September 2023.

Terdapat 11 individu lain dalam lembaga pengarah tersebut, termasuk Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!