SPM Kelantan lancar meskipun dua pusat masih digenangi banjir
RANTAU PANJANG - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 membabitkan 27,017 calon di Kelantan berlangsung lancar dengan dua pusat masih digenangi banjir setinggi kira-kira 0.3 meter.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz, berkata, kesemua calon menjalani peperiksaan SPM bermula pada jam 8 pagi bagi kertas satu dan dua Bahasa Melayu serta Pendidikan Seni Visual.
Menurutnya, bagaimanapun dua pusat peperiksaan digenangi air iaitu di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Diniah dan SMU (A) Al-Falah di Rantau Panjang.
“Sebanyak 27,017 colon akan menduduki SPM di 284 keseluruhan pusat di negeri Kelantan termasuk sekolah Yayasan Islam Kelantan dan sekolah-sekolah persendirian.
“Sebanyak 261 sekolah terlibat sebagai pusat dan setakat petang semalam, dua sekolah masih digenangi banjir membabitkan 35 calon SPM di SMU (A) Diniah dan 48 di SMU (A) Al-Falah, namun tiada keperluan berpindah serta peperiksaan dapat diteruskan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu hadir pada Program Ramah Mesra bersama 189 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.
Menurut Mohd Zamri, sebanyak 12 hospital dan dua pusat tahanan turut dibuka untuk persediaan kepada calon-calon berkeperluan bagi menduduki peperiksaan.
“Kami bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri Kelantan dan membuat persediaan dengan menetapkan petugas-petugas peperiksaan di hospital sekiranya ada calon yang sakit.
“Setakat ini, tidak ada calon mengambil peperiksaan SPM hospital di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, calon-calon SPM melibatkan Orang Asli di Gua Musang juga lancar dengan menempatkan mereka di asrama pusat peperiksaan lebih awal.
“Sejumlah 2,398 petugas yang dilantik untuk memastikan kelancaran SPM di Kelantan kali ini dan sebanyak 20 bilik kebal digunakan untuk menempatkan kertas-kertas peperiksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!