Budak 6 tahun maut tersepit meja lipat
NIBONG TEBAL - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas dipercayai tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di rumahnya di Taman Seri Putera di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah dikatakan bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya.
Difahamkan, ketika kejadian ibu serta adik-beradik mangsa yang lain berada di dalam rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu selepas tidak mendengar sebarang bunyi dari belakang rumah.
Namun selepas melihat kejadian berkenaan, mereka cuba mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Difahamkan, polis menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan berhubung kematian mangsa sebelum bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.
Susulan itu, pasukan forensik dan pegawai penyiasat melakukan siasatan di rumah mangsa selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Difahamkan mayat mangsa akan dibedah siasat di Hospital Parit Buntar,Perak.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!