[VIDEO] Calon SPM berdepan masalah, maklum segera kepada sekolah, JPN
IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berdepan sebarang isu berkaitan peperiksaan berkenaan untuk menghubungi Bilik Gerakan Lembaga Peperiksaan atau Jabatan Pendidikan yang disediakan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya bersedia membantu calon-calon SPM dalam memastikan mereka tidak tercicir untuk mengambil peperiksaan.
Menurutnya, KPM sentiasa bersedia berdepan sebarang situasi atau isu berbangkit sepanjang tempoh peperiksaan bertulis yang bermula pada 2 Januari sehingga 6 Februari depan.
"Pihak KPM mampu untuk mengendali situasi yang berbangkit sekiranya ada untuk memastikan kebajikan dan juga kehadiran anak-anak kita ke peperiksaan SPM ini. Kami bersedia untuk membantu anak-anak kita yang terlibat dalam mana-mana isu seperti ini.
"Sekiranya mana-mana calon bukan sahaja yang ditimpa dengan bencana, tetapi sekiranya ada apa-apa isu berkenaan dengan peperiksaan bolehlah menghubungi Bilik Gerakan supaya pihak KPM dapat membantu dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kampung Pasir Putih, di sini pada Khamis.
Mengenai calon di kawasan yang ditimpa bencana banjir, Kah Woh berkata, pihak kementerian akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Payung sebelum ini.
Menurutnya, pengalaman membantu mangsa banjir ketika ketika Ujian Lisan SPM sebelum ini akan digunakan untuk memastikan calon mengambil peperiksaan berkenaan.
"Pihak KPM telah bersedia untuk operasi sebelum ini yang dinamakan sebagai Operasi Payung untuk memastikan kehadiran anak-anak kita menduduki SPM. Itu adalah komitmen dan juga usaha daripada KPM.
"Pada masa yang sama juga KPM pada setiap masa ada bekerjasama dengan pihak Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan juga pihak Jabatan Meteorologi untuk membuat persediaan awal berkenaan dengan segala perkara yang diperlukan," katanya.
Sementara itu, Kah Woh berkata, seramai 402,956 calon daripada 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM.
Menurutnya, seramai 44,968 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran peperiksaan berkenaan.
Dalam pada itu Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Raba'ai berkata, seramai 31,705 orang calon menduduki peperiksaan SPM di negeri ini.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 135 calon merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas dengan pelbagai kategori iaitu masalah pembelajaran, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, kurang upaya pendengaran dan kurang upaya penglihatan.
MAKLUMAT BILIK GERAKAN LEMBAGA PEPERIKSAAN DAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI
Lembaga Peperiksaan
03-8889 3520
03-8889 3551
03-8889 3601
Perak
05-501 5170
05-501 5177
05-501 5264
Selangor
03-5518 6120
Pahang
09-571 5736
Kelantan
09-744 1411
Sabah
013-874 4187
010-955 6458
Johor
07-231 0049
07-231 0050
07-231 0051
Kedah
04-740 4235
04-740 4237
04-740 4236
Melaka
06-232 6467
Negeri Sembilan
06-765 3347
Pulau Pinang
04-263 1472
Perlis
04-973 7632
Sarawak
082-473527
082-473 519
082-473 520
082-473 534
Terengganu
09-621 3030
Wilayah Persekutuan Labuan
087-468 623
Wilayah Persekutuan Putrajaya
03-8889 0089
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
03-6204 6180
TAMAT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!