AS siasat hubungan kejadian letupan Cybertruck & serangan di New Orleans - Biden

Biden Foto Agensi
Biden Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang menyiasat kemungkinan kaitan antara letupan Cybertruck di Hotel Trump International, Las Vegas, Nevada, dan rempuhan trak pikap di New Orleans, Louisiana, kata Presiden Joe Biden pada Rabu, lapor Anadolu Agency.

Dalam ucapan dari Rumah Putih, Biden mengesahkan pentadbirannya turut memantau insiden letupan di luar hotel Trump.

"Penguat kuasa undang-undang dan komuniti perisikan sedang menyiasat perkara ini, termasuk sama ada terdapat kaitan dengan serangan di New Orleans,” katanya.

Di New Orleans, sebuah trak pikap F-150 berwarna putih telah merempuh kawasan French Quarter pada kira-kira 3.15 pagi (0915GMT) pada Rabu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang maut dan lebih 30 lagi cedera.

FBI mengenal pasti penyerang sebagai Shamsud-Din Jabbar, 42, seorang warganegara AS dari Texas.

"Kami tidak percaya bahawa Jabbar bertindak sendirian. Kami sedang meneliti setiap petunjuk, termasuk rakan-rakan yang dikenali,” kata Alethea Duncan, pembantu ejen khas FBI di pejabat lapangan New Orleans, dalam satu sidang media.

"Kami tidak dapat mendedahkan butiran mengenai latar belakang suspek. Apa yang boleh saya katakan ialah individu ini adalah seorang veteran tentera. Kami percaya beliau telah diberhentikan secara terhormat, tetapi kami sedang menyiasat maklumat ini,” tambah Duncan.

Biden berkata menurut maklumat FBI, Jabbar telah memuat naik video di media sosial beberapa jam sebelum serangan, yang mendapat inspirasi daripada Daesh/ISIS serta menyatakan niat untuk membunuh.

Artikel Berkaitan:

"Bendera ISIS ditemukan dalam kenderaannya, yang disewa untuk melancarkan serangan itu. Bahan letupan juga ditemukan dalam kenderaan itu dan lebih banyak bahan letupan ditemukan berhampiran lokasi kejadian. Keadaan sangat tidak menentu dan siasatan masih di peringkat awal,” kata presiden.

Biden berkata, bahawa penguat kuasa undang-undang dan komuniti perisikan terus mencari sebarang hubungan, persatuan atau konspirator bersama dalam serangan New Orleans, sambil menambah: "Kami tidak mempunyai apa-apa maklumat tambahan untuk dilaporkan pada masa ini. Siasatan terus aktif dan tiada siapa yang patut membuat kesimpulan.”

"Saya mengarahkan pasukan saya untuk memastikan semua sumber tersedia kepada pihak penguat kuasa undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan untuk melengkapkan siasatan di New Orleans dengan segera dan memastikan tiada ancaman terhadap rakyat Amerika,” tambahnya.

Di Las Vegas, seorang individu disahkan maut selepas Cybertruck meletup di luar Hotel Trump International, kata polis pada Rabu.

Mangsa yang maut berada di dalam kenderaan semasa letupan, tetapi identiti mereka, termasuk jantina, belum dapat dipastikan, menurut Sheriff Kevin McMahill dari Daerah Clark dalam satu sidang media.

Tujuh orang awam dilaporkan cedera dalam letupan itu.

Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kenderaan itu terbakar disertai beberapa letupan kecil serta bunyi yang menyerupai bunga api.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk mencadangkan kemungkinan kaitan antara letupan di Las Vegas dan serangan di New Orleans, yang kedua-dua kenderaan itu dilaporkan disewa melalui aplikasi Turo.

"Nampaknya ini adalah tindakan pengganas. Kedua-dua Cybertruck di Las Vegas dan trak pikap F-150 di New Orleans disewa dari Turo. Mungkin terdapat kaitan antara keduanya,” kata Musk di platform X. - Bernama-AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!