Angka korban rempuhan trak di New Orleans meningkat kepada 15

Angka korban dalam 'serangan pengganas' di New Orleans meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang. Foto Agensi
Angka korban dalam 'serangan pengganas' di New Orleans meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Angka korban dalam 'serangan pengganas' di New Orleans meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang, menurut FBI pada Rabu, setelah biro itu mengenal pasti suspek sebagai seorang warganegara Amerika Syarikat dari Texas yang memandu trak pikap sewa yang sarat dengan senjata ke arah orang ramai yang sedang menyambut Tahun Baharu di Bourbon Street.

Suspek yang maut dikenal pasti sebagai Shamsud-Din Jabbar, 42, bekas anggota tentera dari Texas, kata FBI dalam satu kenyataan, lapor United Press International (UPI).

Pegawai menambah bahawa penyiasat sedang meneliti beberapa rakaman video yang dibuat oleh Jabbar sebelum serangan itu.

"Dia memandu trak pikap Ford yang disewa dan kami sedang berusaha untuk mengesahkan bagaimana suspek memperoleh kenderaan itu,” kata agensi tersebut sambil mengesahkan kehadiran bendera ISIS dalam trak berkenaan.

FBI mengetuai siasatan dan dalam satu sidang media petang Rabu, ia menyifatkan serangan itu sebagai tindakan pengganas yang kemungkinan melibatkan beberapa suspek.

Serangan itu berlaku di Blok 100 Bourbon Street, yang telah diisytiharkan sebagai kawasan jenayah dan ditutup sehingga FBI menyelesaikan siasatan selepas menemukan dua alat letupan buatan sendiri serta beberapa peralatan lain di dalam kenderaan suspek.

Pasukan keselamatan dengan bantuan anjing pengesan bom, memeriksa kawasan itu dan lokasi lain di New Orleans, termasuk stadium bola sepak Superdome, bagi memastikan tiada alat letupan lain yang diletakkan.

Senator AS John Kennedy, R-La., menyifatkan serangan itu sebagai contoh 'kejahatan mutlak'.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengharapkan untuk meletakkan kuasa dan sumber penuh kerajaan persekutuan di sebalik penyiasatan ini," kata Kennedy pada sidang media itu.

"Apabila tiba masanya, anda akan mengetahui apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, atau saya akan terus mendesak pihak persekutuan sehingga mereka memberitahu kita apa yang berlaku.”

Bandar itu dijadualkan menjadi tuan rumah perlawanan kelayakan bola sepak NCAA Allstate Sugar Bowl pada malam Rabu di Superdome tetapi telah menangguhkan acara itu selama 24 jam.

New Orleans merupakan antara destinasi pelancongan utama di negara ini semasa musim percutian, dan Sugar Bowl menarik ribuan pelancong setiap tahun. Perlawanan tahun ini merupakan sebahagian daripada format baharu kejohanan bola sepak NCAA.

Gabenor Louisiana, Jeff Landry menyifatkan siasatan sebagai "proses yang sangat mencabar."

"Kami sedang memburu beberapa individu dan mempersiapkan bandar untuk Sugar Bowl esok,” katanya.

Gabenor mengisytiharkan darurat yang akan berlanjutan sehingga perlawanan Sugar Bowl pada Khamis. Beliau turut menyatakan akan menghadiri perlawanan itu.

Ketika ditanya bagaimana pihak berkuasa tahu bahawa suspek tidak bertindak bersendirian, Landry menjawab, "Mengapa kami perlu memberitahu anda?”

Beliau berkata menjawab soalan itu mungkin akan menjejaskan siasatan persekutuan yang sedang dijalankan dengan bantuan pihak penguat kuasa negeri.

Gabenor berkata beliau telah memanggil 100 anggota polis tentera untuk membantu mengamankan bandar dan melindungi daripada sebarang kemungkinan tindakan susulan.

"Kami memerlukan lebih banyak sumber. Kami memerlukan lebih ramai pegawai di lapangan,” kata Landry. "Kami mempunyai siasatan aktif dan perlu meningkatkan keselamatan.”

Lima belas orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden pada 3:15 pagi CST apabila suspek yang memandu trak pikap, merempuh pejalan kaki di kawasan French Quarter yang sesak dan ikonik.

Pegawai berkata Jabbar ditembak mati selepas dia keluar dari kenderaannya dan melepaskan tembakan ke arah polis.

Tiga pegawai polis NOPD membalas tembakan dan membunuh Jabbar. Dua daripada pegawai itu cedera dalam insiden tembakan tetapi kini berada dalam keadaan stabil.

FBI berkata, bendera Negara Islam ditemukan dalam kenderaan itu dan ia sedang "menentukan kemungkinan hubungan dan kaitan suspek dengan organisasi pengganas.”

"Pakar bom FBI sedang bekerjasama dengan rakan penguat kuasa undang-undang kami untuk menentukan sama ada peranti itu berfungsi dan mereka akan berusaha untuk melumpuhkan peranti tersebut,” kata agensi itu.

Polis berkata, Jabbar memandu melalui sekatan jalan pada kadar kelajuan tinggi ke arah French Quarter di Bourbon dan Canal Street.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan mangsa adalah penduduk tempatan, tetapi terdapat juga pelancong dalam kalangan mangsa.

Dua hospital Ochsner Health yang merawat mangsa insiden itu meminta orang ramai menderma darah.

"Kami menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua yang terkesan akibat tragedi di French Quarter pada awal pagi 1 Jan. Untuk menyokong mereka yang terjejas, sila pertimbangkan untuk menderma darah,” menurut sistem kesihatan itu dalam satu kenyataan, sambil mengumumkan rancangan untuk mengadakan kempen derma darah sehingga Khamis.

Seramai 30 mangsa dibawa ke lima hospital berbeza.

Rumah Putih berkata, Presiden Joe Biden menghubungi Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrell, pada pagi Rabu "untuk menawarkan sokongan penuh persekutuan berikutan berita tragis bahawa seorang pemandu telah membunuh dan mencederakan puluhan individu di New Orleans semalaman.”

Presiden telah "diberi taklimat mengenai perkembangan terkini oleh pegawai kanan FBI dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) serta pasukan keselamatannya dan beliau akan terus dimaklumkan mengenai kejadian itu,” menurut kenyataan rasmi tersebut.

"Saya berterima kasih atas tindakan berani dan pantas pihak penguat kuasa undang-undang tempatan dalam mencegah kematian dan kecederaan yang lebih besar,” kata Biden dalam kenyataan berasingan. "Saya telah mengarahkan pasukan saya memastikan semua sumber tersedia bagi membantu penguat kuasa undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin dan memastikan tiada ancaman yang masih ada.” - Bernama-UPI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!