10 maut, 4 cedera parah dalam tembakan di Montenegro

Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam satu insiden tembakan di sebuah bandar di barat daya Montenegro. Foto Agensi
Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam satu insiden tembakan di sebuah bandar di barat daya Montenegro. Foto Agensi
A
A
A

BELGRADE - Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam satu insiden tembakan pada petang Rabu di Cetinje, sebuah bandar di barat daya Montenegro, disahkan Menteri Dalam Negeri Danilo Saranovic, menurut Xinhua.

Insiden yang berlaku sekitar 3 petang waktu tempatan bermula dengan satu pertembungan ganas di sebuah restoran tempatan, lapor penyiar nasional Montenegro RTCG, menambah bahawa suspek penembak, Aco Martinovic, 45 tahun, masih bebas.

Saranovic berkata, dalam satu sidang media bahawa empat orang mengalami kecederaan parah, dua daripadanya telah menjalani pembedahan kecemasan dan kini dirawat di unit rawatan rapi.

"Semua unit polis yang ada telah dikerah ke Cetinje dan usaha sedang dijalankan untuk mencari dan menahan suspek," kata Saranovic, "Ini adalah kejadian situasi dan bukan berkaitan dengan kumpulan jenayah terancang."

Saranovic menggesa penduduk untuk berada di dalam rumah dan menekankan bahawa kawasan di mana suspek dipercayai bersembunyi telah dikenal pasti. Beliau juga mengumumkan rancangan untuk mengkaji semula peraturan senjata api, menegaskan bahawa serangan ini melibatkan senjata yang dimiliki secara haram.

Kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara pada 2-4 Januari. Semua acara awam dan budaya digantung dan bendera akan dikibarkan separuh tiang. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!