Inisiatif RMK-12 perlu disemak, kenal pasti kelemahan perkhidmatan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di kementeriannya pada Khamis. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di kementeriannya pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Segala inisiatif yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu disemak bagi mengenal pasti pencapaian, jurang, serta ruang untuk memperbaiki kelemahan dalam perkhidmatan kepada masyarakat desa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah ini penting sebagai persediaan menuju ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang memerlukan perancangan lebih berani dan radikal.

"Honesty is the best policy (kejujuran adalah pendekatan terbaik dalam kehidupan). Kita mesti berani menerima hakikat, mengakui kelemahan, dan memperbaiki apa jua kesilapan.

"Indeks Prestasi Utama (KPI) yang kita tetapkan setiap tahun mestilah berpandukan kepuasan rakyat, kerana kita semua berkhidmat untuk mereka dan demi masa depan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Pelan Strategik Kementerian 2025 akan disemak semula bagi memastikan pelaksanaanya selari dengan fokus RMK-13.

Beliau berkata, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut diarahkan untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap kepuasan rakyat terhadap penyediaan keperluan asas, kemudahan asas, dan usaha memangkin sosioekonomi kawasan pedesaan.

"Dapatan ini sangat penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan dan memberikan impak yang lebih besar," katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa warga KKDW dan agensi di bawahnya perlu mengadaptasi pemikiran strategik melalui pendekatan rentas fungsi bagi mengelakkan pertindihan peranan, meningkatkan kecekapan, dan mengoptimumkan penggunaan sumber secara lebih efektif.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pendekatan tersebut akan dilaksanakan melalui tiga kluster utama, iaitu Kluster Modal Insan, Kluster Ekonomi dan Kluster Usahawan.

"Kita perlu menggembleng seluruh kekuatan setiap organisasi yang memiliki pelbagai kemahiran dan pengalaman bagi mencapai satu matlamat bersama," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!