97 peratus calon SPM hadir hari pertama ujian bertulis

Fadhlina di sidang akhbar khas Pengoperasian Peperiksaan SPM, di Putrajaya pada Isnin.
Fadhlina di sidang akhbar khas Pengoperasian Peperiksaan SPM, di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Peratusan kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hari pertama ujian bertulis peperiksaan itu mencapai 97 peratus, setakat jam 10 pagi Khamis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang mengesan kira-kira 10,000 calon SPM yang belum mengesahkan kehadiran mereka.

"Ini adalah kehadiran yang baik, maknanya kita masih lagi dalam proses untuk mengemas kini dan harap ia dapat dipertingkatkan untuk memastikan anak-anak hadir ke peperiksaan SPM," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar khas Pengoperasian Peperiksaan SPM 2024 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini.

Menurutnya, secara keseluruhan peperiksaan hari pertama ujian bertulis SPM 2024 berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah dan saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada anak-anak yang mengambil SPM diiringi doa serta mudah-mudahan kejayaan akan mengiringi mereka semua," ujar beliau.

Jelasnya, jumlah keseluruhan calon SPM 2024 adalah seramai 402,956 pelajar di 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

"Jumlah petugas peperiksaan pula adalah seramai 44,968 orang termasuk 5,780 pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM sedia mengaktifkan semula Op Payung sekiranya berlaku bencana banjir terutamanya di Kelantan, Kedah, Pahang dan Johor serta Sabah.

Tindakan tersebut katanya bagi memudahkan pergerakan calon untuk menduduki peperiksaan.

"Setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal. Terdapat beberapa laporan diterima KPM berkaitan dengan banjir namun, calon-calon masih kekal berada di pusat periksaan tersebut," katanya.

Peperiksaan bertulis SPM 2024 berlangsung bagi tempoh 2 Januari sehingga 6 Februari depan.

Pada perkembangan berasingan, Fadhlina berkata, pihaknya sedang menyelaras semula pendidikan anak-anak GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pelarasan itu dibuat berdasarkan umur dan kesesuaian anak-anak berkenaan untuk mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah KPM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!