'Sebelum ini rumah banjir, minggu lalu jatuh tangga pula'
RANTAU PANJANG - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menduduki peperiksaan dalam kesakitan akibat pergelangan kaki kanan patah kerana terjatuh tangga di rumahnya seminggu lalu.
Bukan itu sahaja, rumah Mohd Adam Mukhriz Rosdi, 17, juga sebelum ini ditenggelami banjir di Kampung Kedap pada gelombang pertama Monsun Timur Laut menyebabkan dia bersama keluarga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara selama tiga hari.
“Banyak ujian untuk berdepan SPM, sebelum ini rumah banjir, minggu lalu terjatuh tangga pula.
“Akibatnya, saya berkerusi roda untuk datang sekolah bagi menjalani peperiksaan tetapi masih sempat membaca sedikit nota ulang kaji awal pagi tadi (Khamis) sebagai persiapan akhir,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz hadir pada Program Ramah Mesra bersama calon SPM di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Adam dibantu rakan sekolah yang menolak kerusi roda dinaikinya ke dewan peperiksaan di sekolah itu bagi menduduki Kertas Satu dan Dua Bahasa Melayu serta Pendidikan Seni Visual bermula jam 8 pagi.
Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, dia membuat ulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan selain belajar sendiri.
“Saya banyak mengulang kaji dengan rakan-rakan untuk lebih faham mata pelajaran sebelum menghadapi SPM.
“Kawan-kawan banyak membantu saya termasuk menolak kerusi roda dalam keadaan lantai sekolah masih licin kerana keadaan selepas banjir,” katanya.
Lapan calon di Kedah ambil SPM di hospital
KULIM - Seramai lapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kedah terpaksa menduduki peperiksaan di lima hospital di negeri ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata, kesemua mereka ditempatkan di hospital akibat pelbagai masalah kesihatan.
Menurutnya, empat calon ditempatkan di Hospital Jitra, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Kuala Nerang dan Hospital Kulim manakala empat lagi calon menduduki SPM di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
"Jumlah keseluruhan calon SPM di Kedah pada tahun ini ialah seramai 28,944 pelajar menduduki peperiksaan di 264 pusat peperiksaan, daripada jumlah itu, seramai 1,120 calon persendirian turut menduduki ujian bertulis bermula Khamis.
"Selain itu, bilangan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) pula adalah seramai 71 calon membabitkan pelbagai kategori," katanya semasa meninjau Peperiksaan Bertulis SPM Kertas 1 Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahang di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, katanya, setakat ini tiada calon di Kedah terjejas banjir namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang SPM berlangsung.
"Calon dinasihatkan untuk memaklumkan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan disebabkan bencana," katanya.
Bilik gerakan di Kedah boleh dihubungi di talian 04-7404235, 04-7404236 atau 04-7404237 jika berdepan sebarang masalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!