ABIM gesa PH beri kata putus Jumaat ini

Anwar dan Dr Mahathir. Gambar kecil: Muhammad Faisal
Anwar dan Dr Mahathir. Gambar kecil: Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat ini menetapkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, spekulasi mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri akan dapat dihentikan sekiranya tarikh transisi itu ditetapkan segera.

"Kami gesa supaya Mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat ini perlu bincang terus tarikh untuk transisi supaya perkara ini tidak lagi dijadikan modal politik tidak sihat.

"Bila tarikh itu sudah ditetapkan, ia beri ruang kepada kakitangan kerajaan atau masyarakat untuk bersedia dengan 'mindset' (kerangka minda) baharu dengan kepimpinan negara yang baharu. Jadi mereka ada 'mindset' untuk melihat kerajaan dipimpin oleh PM yang baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurut Muhammad Faisal, penetapan segera tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri itu akan mempengaruhi 'mindset' pelabur dan memberi mereka keyakinan untuk melabur di negara ini.

"Ia kerana ketika ini majoriti pelabur menyatakan kegusaran untuk melabur di negara ini sebagaimana dilaporkan portal The Edge dan sebagainya bahawa pelabur masih lagi belum melabur sepenuhnya sebab mereka khuatir sama ada akan berlaku transisi jawatan Perdana Menteri ataupun tidak.

"Jadi bila tarikh peralihan kuasa itu diumumkan, sekurang-kurangnya pelabur boleh terus 'engage' dengan bakal Perdana Menteri untuk bincang tentang ekonomi dan sebagainya dan ini lebih baik melancarkan pergerakan ekonomi negara," katanya.

Tegasnya, cepat atau lambat peralihan kuasa itu berlaku bukan isu utama tetapi sebaliknya apa yang lebih penting ialah tarikh transisi perlu diputuskan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Muhammad Faisal berkata, prosedur untuk peralihan kuasa haruslah disepakati dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH atau dalam erti kata lain, semua pihak harus menghormati perjanjian yang telah ditetapkan.

"Ada ura-ura kata (Dr Mahathir akan galas jawatan Perdana Menteri) sampai habis penggal dan sebagainya tapi kalau ikut perjanjian, keadaan itu tak seharusnya berlaku sebab rakyat menantikan peralihan kuasa kerana ia telah dijanjikan sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lagi," katanya.

Ditanya mengenai cadangan agar Mesyuarat Majlis Presiden PH supaya turut menamakan calon Timbalan Perdana Menteri agar peralihan kuasa Perdana Menteri berjalan lancar, kata Muhammad Faisal, secara peribadi beliau berpendapat calon terbaik adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau adalah tokoh politik yang senior dan pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini tapi apa-apa pun kita serahkan kepada Mesyuarat Majlis Presiden PH untuk menentukan calonnya.

"Bagi saya kalau mahu pastikan ada semak dan imbang, Tan Sri Muhyiddin adalah calon yang tepat kerana beliau dari parti berbeza dengan calon Perdana Menteri, jadi ada keseimbangan antara dua parti (Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat)," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha berkata, tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri yang masih belum diputuskan menyebabkan rakyat khususnya belia bimbang dengan keadaan politik negara yang dianggap masih tidak stabil.

Menurutnya, apabila politik tidak stabil, ia akan memberi kesan kepada ekonomi sedangkan rakyat sekarang sedang bertarung dengan isu ekonomi.

"Kebanyakan anak muda dah tak peduli sangat dengan isu peralihan kuasa Perdana Menteri kerana yang penting mereka nak politik negara stabil dan ekonomi berkembang.

"Tarikh peralihan terserah kepada kebijaksanaan rundingan antara Dr Mahathir dan Anwar serta rundingan di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. Yang penting ada kepastian dalam peralihan kuasa," katanya.

Menurutnya, tarikh tepat peralihan kuasa berkenaan akan mempengaruhi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Kami juga gesa agar kerajaan fokus menstabilkan politik dan merangsang ekonomi berdasarkan indikator yang ditunjukkan oleh rakyat melalui pilihan raya kecil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!