PM jumpa Presiden Turkmenistan, wakilkan Zambry Kadir ke Sidang Kemuncak ke-11 D-8

Anwar bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow di Putrajaya.
Anwar bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow di Putrajaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) kerana mengutamakan tugasan rasmi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pada tarikh sidang tersebut, Anwar dan Kerajaan Malaysia menerima kunjungan hormat kali pertama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke negara ini.

Justeru, beliau mengingatkan tentang dosa besar apabila ada sesetengah pihak yang menyebarkan fitnah kerana ketidakhadiran Anwar ke sidang kemuncak berkenaan.

“Kita sebagai umat Islam perlu sedar bahawa menyebarkan fitnah adalah berdosa besar dan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Saya sendiri menyertai sesi mesyuarat dua hala dan sambutan rasmi tersebut di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

“Pimpinan kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

“Antara Januari hingga Oktober lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkmenistan meningkat dengan ketara sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (AS$13.90 juta), berbanding RM36.19 juta (AS$7.91 juta) untuk tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Khamis.

Pada Selasa lalu, Presiden Pas melalui tulisan Minda Presiden menganggap ketiadaan Anwar di Sidang Kemuncak ke-11 D-8 di Kaherah sebagai bukti konsep Madani yang dibawa perdana menteri dan kerajaan tidak tulen.

Menurutnya, ketidakhadiran Perdana Menteri Malaysia kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli menjelaskan, pada tahun 2023, Turkmenistan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (AS$10.57 juta).

Malah katanya, Perdana Menteri telah mewakilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk mewakili Malaysia pada sidang kemuncak itu.

“Dr Zambry turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Iran, Setiausaha Agung Kumpulan Negara D-8, Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Menteri Luar Pakistan dan Menteri Luar Mesir.

“Sejak ditubuhkan di Istanbul, Turki pada 15 Jun 1997, D-8 adalah sebuah kumpulan pakatan ekonomi yang dibentuk dalam kalangan negara Islam membangun yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Anwar dan Kerajaan Malaysia menerima kunjungan hormat kali pertama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke negara ini.
Anwar dan Kerajaan Malaysia menerima kunjungan hormat kali pertama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke negara ini.

“Pada Sidang Kemuncak kali ini juga, Mesir turut menganjurkan Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan,” ujar beliau.

Tambahnya, Zambry dalam ucapannya turut mengingatkan tentang situasi di Palestin dan Lubnan yang menjadi mangsa tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis dan mendesak untuk kezaliman tersebut dihentikan.

Malaysia juga menggesa tindakan pantas dan tegas untuk menghentikan perang genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Ini selaras dengan komitmen Perdana Menteri sedari zaman belianya yang tegas memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November 2024 menerima cadangan Perdana Menteri untuk membina konsensus antarabangsa bagi menyingkir Israel daripada PBB demi rakyat Palestin dan kemanusiaan sejagat,” katanya.

Jelas beliau, dunia sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah model negara negara aman, damai dan hidup dengan penuh kerukunan berpaksikan fikah at-ta’ayush, yang mempromosi idea wasatiyah dan hidup bersama dalam budaya damai.

Gagasan Madani katanya, menyuburkan ihsan, peduli dan kasih sayang dalam setiap anggota masyarakat mampu mewujudkan keamanan, kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan di Malaysia.

“Gagasan Malaysia Madani sebagai dasar negara oleh Perdana Menteri membuka ruang baharu untuk penyuburan ilmu serta akhlak Islam dalam pemerintahan dan politik dengan ajaran agama yang menjadi terasnya.

“Justeru pandangan mengaitkan Madani dengan jahiliyyah adalah salah. Gagasan Malaysia Madani adalah berasaskan konsep Madinah Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam yang berjaya menyatupadukan warganya daripada pelbagai suku kaum melalui Piagam Madinah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!